Statistik kebankrapan Malaysia 2023
Pada Q1 2023 sahaja, Jabatan Insolvensi Malaysia telah mencatatkan 1,392 kes kebankrapan baru di seluruh negara.
Daripada angka tersebut, 57 kes melibatkan individu yang berumur di bawah 30 tahun!
Kebankrapan sentiasa sukar diatasi, tetapi ia menjadi cabaran gergasi apabila dihadapi pada usia begitu muda – ketika rakan sebaya sibuk membina masa depan, bayangkan terpaksa menyandang beban hutang hingga beratus ribu Ringgit.
Dan meskipun kebankrapan adalah hasil dari kesilapan diri sendiri, cukup pahit apabila kesilapan tersebut adalah untuk mempercayai ahli keluarga terdekat.
Ayah punca bankrap pada usia 23 tahun
Muflis Bankrupt di Malaysia adalah sebuah kumpulan Facebook dengan 54,000 ahli yang bertujuan membantu rakyat Malaysia yang bankrap untuk bangkit semula.
Baru-baru ini, seorang lelaki Malaysia menceritakan pengalaman membenarkan bapanya mendaftarkan syarikat atas namanya ketika dia baru berusia 18 tahun.
Perniagaan itu akhirnya gagal dan ditutup enam tahun kemudian, meninggalkan lelaki tersebut dengan hutang RM100,000 untuk dilangsaikan pada usia 23 tahun.
Lelaki tersebut terpaksa mengisytiharkan kebankrapan individu, dan kini berusia 33 tahun, sudah sepuluh tahun tidak layak mendapat pinjaman rumah atau melancong ke luar negara.
Penjelasan ringkas kebankrapan individu
Kebankrapan adalah proses di mana seseorang diisytiharkan muflis mengikuti Perintah Kebankrapan oleh Mahkamah Tinggi terhadap individu jika mereka tidak berupaya membayar hutang RM100,000 dan ke atas.
(nota: menurut pembentangan Ekonomi Madani baru-baru ini, angka ini mungkin akan dinaikkan ke RM200,000 mulai 2024)
Ia dianggap pilihan terakhir kerana walaupun ia melindungi penghutang, ia datang dengan penalti yang serius, antaranya:
- Semua aset seperti wang tunai, kenderaan, dan tanah dirampas.
- Tidak dibenarkan melancong ke luar negara.
- Sekatan dari pekerjaan tertentu, termasuk akauntan, doktor, dan peguam.
- Kebenaran untuk meminjam kredit yang sangat terhad.
Untuk maklumat lanjut, sila lihat penjelasan rasmi Jabatan Insolvensi.
Pentingnya, anda tidak mahu ada hubungan dengan kebankrapan!
Pengajaran buat rakyat Malaysia
Lebih baik belajar dari kesilapan orang lain daripada kesilapan kita sendiri – dan ada dua pengajaran penting dari kejadian malang ini.
1. Sebaiknya, asingkan keluarga dan perniagaan
Apabila anda menggabungkan keluarga dengan perniagaan, isu yang lazimnya mudah diselesaikan boleh menjadi rumit kerana hubungan peribadi.
Sudah menjadi fitrah manusia untuk percaya kepada keluarga sepenuhnya tetapi dalam dunia keusahawanan, kepercayaan sebegini hanya akan mengundang masalah.
Kalau boleh, asingkanlah dua aspek hidup anda supaya boleh membuat keputusan menggunakan logik, bukannya emosi!
2. Kepentingan kontrak dalam perniagaan
Sebagai generasi muda yang baru mula melangkah ke dunia keusahawanan, memiliki rakan kongsi boleh membuat perjalanan ini kurang mencabar.
Masalahnya, kadang kala rakan kongsi itulah yang akan menyukarkan perjalanan anda!
Sepanjang pengalaman MISHU sebagai penasihat dan perunding, kami telah lihat banyak kes di mana ahli keluarga atau rakan terdekat memulakan perniagaan tanpa kontrak kerana bergantung pada kepercayaan dan persahabatan.
Keputusan ini kemudiannya menyebabkan syarikat yang sukar berkembang dan hubungan yang rapat menjadi tegang.
Kontrak dalam perniagaan berfungsi sebagai dokumen yang mewajibkan pihak berkenaan untuk menunaikan tanggungjawab, memainkan peranan, dan menuruti butiran kewangan yang dipersetujui.
Tanpanya, salah faham, pertikaian, dan eksploitasi berpotensi mudah masuk.
Jadi, kepada para pembaca, jika anda ingin memulakan perniagaan, pastikan anda mendapatkan kontrak yang disediakan oleh pihak profesional!