Pelanggaran Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 oleh Touch n Go menunjukkan bahawa tiada pihak yang bebas daripada melakukan kesilapan 1024x667

Iktibar Pelanggaran Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 Oleh Touch ‘n Go 

Baru-baru ini, Touch ‘n Go, sistem pembayaran elektronik terbesar di Malaysia, dikenakan denda RM600,000 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kerana melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Sejujurnya, jumlah tersebut agak kecil jika dibandingkan dengan RM750 juta yang dikumpul Touch ‘n Go tahun lepas.

Walaubagaimanapun, berdasarkan laporan berita, insiden dan denda RM600,000 tersebut boleh dielakkan sepenuhnya.

Lantas, artikel ini akan meneliti dua aspek kes ini dengan lebih dekat:

  • Butiran tentang kecuaian Touch ‘n Go
  • Iktibar yang boleh diambil oleh para pemilik dan pengarah syarikat tanpa mengira industri

Jom kita mulakan!

Butiran Kesilapan Touch ‘n Go 

Dalam dua kejadian berasingan lebih daripada tiga tahun lalu, Touch ‘n Go membenarkan dua individu yang disekat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2014 (AMLA) untuk mengakses perkhidmatan e-dompet mereka.

Setelah mendapat tahu, Touch ‘n’ Go secara sukarela melaporkan penemuan ini kepada Bank Negara Malaysia, dan pada 1 September 2023,  Penalti Kewangan Pentadbiran (AMP) sebanyak RM600,000 dikenakan ke atas mereka kerana melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) .

Apakah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013?

Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 ataupun FSA 2013 ialah dokumen perundangan yang mengawal institusi kewangan dan entiti berkaitan yang beroperasi di Malaysia, termasuklah sistem pembayaran elektronik seperti Touch ‘n Go.

FSA mengawal selia operasi entiti tersebut dan dikuatkuasakan oleh Bank Negara untuk memelihara kestabilan kewangan dan kepentingan pengguna.

Apakah kesalahan Touch ‘n Go di bawah FSA?

Touch ‘n Go didapati melanggar seksyen 48(1) Akta Perkhidmatan Kewangan, yang menyatakan bahawa:

Tiap-tiap institusi hendaklah pada setiap masa:

  • mematuhi standard sebagaimana yang ditentukan oleh Bank di bawah subseksyen 47(1) yang terpakai bagi institusi itu; 
  • memastikan bahawa dasar dan tatacara dalamannya selaras dengan standard sebagaimana yang ditentukan oleh Bank di bawah subseksyen 47(1); dan 
  • sama ada atau tidak standard telah ditentukan oleh Bank di bawah subseksyen 47(1), menguruskan perniagaannya, hal ehwalnya dan aktivitinya dengan cara yang selaras dengan pengurusan risiko yang kukuh dan amalan tadbir urus yang berkesan, bertanggungjawab dan telus. 

Secara ringkasnya, Touch ‘n Go sebagai institusi kewangan perlu mematuhi peraturan Bank Negara Malaysia, termasuk Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan (AML/CFT dan TFS untuk FI), yang memerlukan Usaha Wajar Pelanggan dilaksanakan.

Dengan gagal memenuhi Usaha Wajar Pelanggan, Touch ‘n Go melanggar FSA lantas didenda.

Apakah Maksud Usaha Wajar Pelanggan?

Berikut adalah terjemahan definisi rasmi Usaha Wajar Pelanggan Bank Negara daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Malaysia:

Usaha Wajar Pelanggan ialah proses mengenal pasti dan mengesahkan identiti pelanggan anda. Institusi pelapor mesti berpuas hati bahawa butiran pelanggan adalah seperti yang mereka katakan, termasuklah:

  • identiti pelanggan
  • identiti pemilik benefisial iaitu orang di sebalik transaksi
  • identiti orang yang menjalankan transaksi jika urus niaga itu dilakukan bagi pihak lain atau orang yang berurusan dengan anda adalah wakil yang dilantik oleh orang yang sah
  • mengapa urus niaga itu dilakukan

Dalam kes Touch ‘n Go, ini memerlukan saringan pemohon untuk memastikan mereka tidak disekat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Seperti yang kita tahu, Touch ‘n Go gagal melakukan saringan ini sebanyak dua kali (menurut laporan mereka), mengakibatkan denda RM600,000 dikenakan.

Iktibar untuk Pemilik & Pengarah Syarikat 

Walaupun lebih berkaitan dengan perkhidmatan kewangan di Malaysia, sebagai firma Setiausaha Syarikat, kami percaya berita ini sangat relevan buat semua pemilik perniagaan dan pengarah syarikat di Malaysia.

Pada pendapat kami, cara Touch ‘n Go menangani kesilapan mereka patut dijadikan contoh teladan tentang pematuhan undang-undang dan urus tadbir yang beretika.

1. Simpan Rekod Urus Niaga Yang Lengkap

Touch ‘n Go hanya mendapat tahu tentang kesilapan mereka selepas tiga tahun. Meskipun penemuan ini agak tertangguh, kita masih perlu akui ia membuktikan bahawa Touch ‘n Go menyimpan rekod yang cukup terperinci sehingga boleh menyiasat urus niaga yang sudah begitu lama.

Berapa syarikat boleh mengatakan perkara sama tentang rekod mereka?

Diingat juga bahawa Seksyen 167 Akta Syarikat 2016 mewajibkan syarikat mengekalkan rekod perakaunan dan kewangan selama tujuh tahun dan kami rasa banyak syarikat yang melanggar peraturan ini.

Iktibar: Simpan rekod perakaunan dan simpan kira yang terperinci, dan gunakanlah perisian perakaunan.

2. Jangan Sembunyikan Kesilapan Pematuhan

Kami tidak suka membuat spekulasi, tetapi kami agak yakin bahawa Touch ‘n Go tidak melanggar FSA dengan sengaja. Malangnya, ada proses yang tidak boleh diautomasikan sepenuhnya, dan memang lumrah manusia untuk membuat kesilapan dari masa ke semasa. 

Dengan melaporkan diri kepada Bank Negara Malaysia secara sukarela, Touch ‘n Go bukan sahaja meminimumkan tindak balas negatif daripada orang ramai tetapi mengelak daripada melakukan kesalahan tambahan iaitu menyembunyikan pengetahuan ini daripada pihak berkuasa.

Iktibar: Jika anda mendapat tahu anda telah melanggar undang-undang, lebih baik untuk mengaku kesilapan.

3: Pematuhan Memerlukan Pengetahuan Khusus

Lihat sahaja peraturan rumit yang dikenakan Bank Negara ke atas institusi kewangan di Malaysia dan anda mungkin memaafkan Touch ‘n Go atas kesilapan mereka – pematuhan ‘undang-undang tidak mudah!

Walaupun kesilapan mereka hanya ditemui tiga tahun kemudian, tanpa pasukan yang cekap, Touch ‘n Go mungkin langsung tidak akan menemuinya. Bayangkan apa akan terjadi jika Bank Negara yang mendapat tahu tentang kesilapan ini. Kemungkinan penalti lebih besar akan dikenakan dan laporan media pasti jauh lebih negatif.

Bagi pengarah atau pemilik syarikat, inilah kelabihan mempunyai Setiausaha Syarikat yang cekap.

Iktibar: Lantik MISHU sebagai Setiausaha Syarikat anda!

Lantik MISHU sebagai Setiausaha Syarikat anda

Co sec Manager Fenny

MISHU sedia untuk menjadi penasihat yang boleh dipercayai tentang pematuhan undang-undang. Kami mempunyai pengalaman luas dalam membantu penyedia perkhidmatan kewangan memahami dan mematuhi Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 ataupun sebarang akta yang relevan kepada perniagaan anda. Hubungi kami sekarang!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

please include country code

Scroll to top