Panduan Lengkap Permohonan Lesen Perniagaan MBSJ
Usahawan yang merancang untuk beroperasi dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), panduan ini menerangkan cara memohon lesen perniagaan daripada mereka.

Begini cara kami terangkannya:
- kawasan di bawah pentadbiran MBSJ
- maksud ‘lesen perniagaan MBSJ’
- tiga kategori lesen
- dokumen wajib
- yuran, tempoh sah, pembaharuan, dan
- lokasi permohonan
Nota: Panduan lesen PBT kami bertujuan memberikan pemilik perniagaan sumber maklumat yang mudah diakses, terapi dalam kes MBSJ, mereka sendiri pun ada banyak dokumen yang lengkap, jadi anda boleh juga rujuk terus bahagian pelesenan mereka😛
Jom, mulakan.
Kawasan di bawah pentadbiran MBSJ
Kelakarnya, Majlis Bandaraya Subang Jaya sebenarnya mentadbir kawasan yang jauh lebih luas daripada bandar Subang Jaya!
Wilayahnya meliputi lebih 160 kilometer persegi dan 24 zon; terlalu banyak untuk disenaraikan di sini, tetapi jika premis anda terletak di:
- Bandar Subang Jaya
- USJ
- Bandar Sunway
- Putra Heights
- Seri Kembangan, atau
- Bahagian selatan Puchong
Ia terletak di bawah bidang kuasa MBSJ!
Anda boleh lihat senarai penuh kawasan yang diselia oleh MBSJ di sini.
Maksud sebenar ‘lesen perniagaan MBSJ’

MBSJ mengeluarkan beberapa lesen perniagaan, dan ‘memohon lesen perniagaan MBSJ’ bermaksud mendapatkan semua lesen yang diperlukan oleh perniagaan anda.
Senarai lesen waajib berbeza mengikut jenis perniagaan, tetapi dua yang paling lazim ialah:
- lesen premis, dan
- lesen papan tanda
Kedua-dua lesen ini membenarkan anda beroperasi dan memaparkan papan iklan dalam kawasan pentadbiran MBSJ, mewajibkannya untuk hampir semua jenis perniagaan. Permohonan biasanya dibuat sekali gus melalui lesen komposit MBSJ.
Semasa membuat permohonan, anda perlu membuktikan bahawa anda memenuhi syarat-syarat premis dan papan tanda yang ditetapkan.
Nota: MBSJ juga mengeluarkan lesen bagi penjualan alkohol, hiburan, dan pelbagai aktiviti lain—hubungi kami untuk penjelasan tentang keperluan anda.
Kategori lesen
MBSJ membahagikan permohonan lesen kepada tiga kategori berdasarkan tahap risiko sesuatu aktiviti perniagaan serta keperluan yang berkaitan.
Kategori A
Kategori ini merujuk kepada perniagaan yang dianggap berisiko tinggi untuk terlibat dalam aktiviti tidak sah, dan pemohon perlu mengemukakan kertas cadangan sebelum boleh meneruskan permohonan.
Terdapat tiga jenis perniagaan di bawah Kategori A:
- pusat kecantikan
- kafe siber
- pusat hiburan seperti pub
Ah, memang dah lama tak nampak kafe siber di Kuala Lumpur!
Kategori B
Perniagaan dalam kategori ini tidak dianggap berisiko tinggi, tetapi tetap memerlukan dokumen sokongan tambahan daripada agensi kerajaan lain.
Terdapat 41 jenis perniagaan di bawah Kategori B, dan anda boleh rujuk senarai penuhnya di sini.
Kategori C
Perniagaan dalam kategori ini boleh menerima kelulusan segera sekiranya permohonan lengkap. Pemohon yang berjaya akan mendapat permit enam bulan untuk memulakan operasi dengan serta-merta.
Pegawai MBSJ akan membuat pemeriksaan kira-kira sebulan selepas tarikh penghantaran permohonan. Jika perniagaan memenuhi semua syarat premis dan papan tanda, ia akan diberikan lesen tahunan penuh.
Memandangkan terdapat 453 jenis perniagaan di bawah Kategori C, besar kemungkinan perniagaan anda tergolong dalam kategori ini.
Syarat papan tanda
Berikut ialah contoh papan tanda yang mematuhi syarat-syarat MBSJ:

Ada tiga jenis syarat utama:
- isi kandungan
- bahasa, dan
- spesifikasi teknikal
Isi kandungan
- tidak boleh ada kandungan tidak senonoh atau menyinggung perasaan
- aktiviti perniagaan mesti dinyatakan dalam Bahasa Malaysia di penjuru kiri atas
- nama syarikat dan nombor SSM mesti dinyatakan di penjuru kiri bawah
- MBSJ, nombor akaun, dan tahun kelulusan mesti dinyatakan di penjuru kanan bawah
Bahasa
- mesti gunakan Bahasa Malaysia yang diluluskan oleh Dewan Bahasa & Pustaka (DBP)
- Bahasa Malaysia boleh digunakan secara tunggal atau bersama bahasa lain
- jika bersama bahasa lain, teks Bahasa Malaysia mesti minimum 30% lebih besar
Spesifikasi teknikal
- tidak boleh menutup keseluruhan tingkap atau fasad bangunan
- papan tanda yang menonjol keluar hanya dibenarkan bermula dari tingkat kedua
- tidak dibenarkan menggunakan lampu berkelip-kelip
Syarat premis
Tanpa mengira jenis perniagaan, secara ringkasnya premis akan diperiksa oleh pegawai MBSJ bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan yang memuaskan.
Sesetengah jenis perniagaan mempunyai syarat tambahan berkenaan lokasi premis, contohnya:
- perniagaan hiburan tidak boleh berdekatan dengan institusi keagamaan atau kawasan perumahan
- perniagaan dengan haiwan hidup tidak boleh bersebelahan dengan restoran atau klinik
- bengkel kereta dan motosikal mesti berada di kawasan perindustrian ringan
Dokumen wajib
Semua permohonan perlu mengemukakan dokumen berikut:
- salinan MyKad / Pasport
- dokumen pendaftaran perniagaan
- gambar hadapan premis
- peta lokasi
- salinan pelan lantai
- reka bentuk papan tanda berwarna lengkap dengan ukuran
- salinan geran tanah / Perjanjian Jual Beli / Perjanjian Sewa
- salinan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) / Siap Ubahsuai
- salinan bayaran cukai taksiran terkini
Bergantung kepada jenis perniagaan, dokumen sokongan tambahan daripada agensi kerajaan lain juga perlu dikemukakan.
Tempoh sah, yuran, dan pembaharuan
Lesen komposit MBSJ sah selama satu tahun dari tarikh ia dikeluarkan.
Yuran lesen premis berbeza mengikut jenis dan saiz perniagaan, tetapi dalam pengalaman kami, anggaran adalah sekitar:
- RM200 – RM500 untuk pejabat / kedai runcit
- RM500 untuk premis makanan & minuman (F&B)
- RM1,000 untuk perniagaan yang beroperasi di kilang dan sektor perindustrian
Sementara itu, yuran tahunan lesen papan tanda bergantung pada saiz papan tanda dan sama ada ia bercahaya atau tidak.


Lazimnya, yuran lesen papan tanda MBSJ adalah sekitar RM100 – RM300 setahun.
Cara hantar permohonan
Kebanyakan perniagaan boleh memilih untuk menghantar permohonan secara fizikal atau dalam talian.
Pilihan 1: Permohonan fizikal
Kunjungi ibu pejabat MBSJ untuk dapatkan semua borang permohonan yang berkaitan serta menyerahkannya bersama dokumen sokongan:

Bagi mereka yang mengutamakan keselesaan, kami mengesyorkan pilihan digital.
Pilihan 2: Permohonan dalam talian
Lesen perniagaan MBSJ boleh dipohon dan diperbaharui secara atas talian melalui portal Elesen MBSJ.

Pengguna kali pertama perlu mendaftar dahulu—rujuk panduan pengguna rasmi MBSJ di sini.
Dan itu sahaja yang anda perlu tahu buat masa ini!
Senarai semak pra-permohonan
Untuk permohonan lesen lancar, pastikan anda telah ambil lima langkah berikut:
- mendaftarkan perniagaan dengan SSM sama ada sebagai Enterprise atau Sdn Bhd
- menyediakan dokumen sokongan yang betul
- mendapatkan premis yang sesuai
- mereka bentuk papan tanda yang sesuai, dan
- menyediakan pelan lantai serta mengambil gambar premis anda
Semoga permohonan anda lancar, dan ingat kami sentiasa ada jika anda perlukan bantuan😉
Biarkan MISHU bantu dengan permohonan lesen MBSJ anda
Pasukan kami boleh bantu anda sediakan dokumen permohonan lesen perniagaan MBSJ serta menguruskan permohonan bagi pihak anda. Hubungi kami hari ini!