Panduan Permohonan Kebenaran PDA 1 KPDN

Panduan Permohonan Kebenaran PDA 1 KPDN

Kebenaran PDA 1 di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) ialah permit wajib untuk mengusahakan sebarang jenis stesen minyak di Malaysia.

contoh stesen minyak mini di Malaysia yang tetap memerlukan sijil Kebenaran PDA 1 daripada KPDN
Walaupun jauh di pedalaman Johor.

Jika syarat dipenuhi, proses mendapatkan lesen ini tidak rumit, dan panduan di bawah menerangkan caranya bagi yang ingin uruskan permohonan PDA 1 sendiri, termasuk:

  • jenis operasi yang tertakluk di bawah PDA 1
  • syarat kelayakan
  • dokumen sokongan
  • yuran dan tempoh sah
  • langkah permohonan, dan
  • pembaharuan lesen

Jom mulakan.

Kewajipan lesen PDA & CSA

Kebenaran PDA 1 membolehkan anda menyertai industri petroleum sebagai stesen minyak yang menjual petrol dan diesel secara runcit kepada pengguna.

contoh Kebenaran PDA
Contoh Kebenaran PDA.

Selain itu, anda juga memerlukan lesen runcit Akta Kawalan Bekalan (CSA) yang mengawal selia penyimpanan dan penjualan barang kawalan di Malaysia, termasuk petrol dan diesel.

lesen CSA untuk borong diesel
Lesen CSA pemborong bahan minyak.

Mujurlah, kedua-dua lesen ini dikeluarkan oleh KPDN dan seperti yang kami terangkan di bawah, permohonan untuk kedua-duanya boleh dibuat serentak dengan mudah.

Jenis stesen di bawah PDA 1

Portable Container System (PCS) yang memerlukan Kebenaran PDA 1 daripada KPDN
Portable Container System (PCS).

Garis panduan PDA 1 KPDN terpakai kepada lima jenis operasi runcit petroleum:

  1. Stesen minyak: Stesen berjenama penuh yang menjual bahan api dan pelincir untuk kenderaan bermotor
  2. Stesen minyak mini: Stesen kecil dari segi modal dan saiz tapak di kawasan luar bandar atau pedalaman
  3. Portable Container System (PCS): Stesen mudah alih untuk bekalan sementara di kawasan dibenarkan
  4. Skid tank: Tangki bahan api yang diletakkan di atas tanah atau di atas platform
  5. Floating barge: Kemudahan bekalan bahan api terapung

Semua stesen mesti mempunyai syarikat minyak yang diluluskan sebagai pembekal, dan tergolong dalam salah satu daripada dua model pemilikan:

  • stesen Company Owned, Dealer Operated (CODO) dimiliki oleh syarikat minyak dan diusahakan oleh pengusaha yang dilantik oleh syarikat minyak tersebut
  • stesen Dealer Owned, Dealer Operated (DODO) dibiayai dan dimiliki sepenuhnya oleh individu / syarikat

Model stesen anda akan menentukan syarat ekuiti yang kami terangkan dalam bahagian seterusnya.

Syarat kelayakan

KPDN menetapkan syarat modal dan pemilikan minimum bagi permohonan baharu:

SyaratStesen berjenama penuhStesen miniPCSSkid tank
Modal berbayar minimum (Sdn. Bhd.)RM200,000RM50,000RM50,000Tidak berkenaan
Modal kerja minimum (enterprise, pertubuhan, atau koperasi)RM200,000RM50,000RM50,000RM50,000
Tempoh sah maksimum5 tahun, tertakluk kepada budi bicara Kementerian

Modal kerja adalah berdasarkan jumlah yang tertera dalam penyata bank perniagaan.

Syarat pemilikan:

  • milikan tunggal CODO mesti dimiliki 100% oleh Bumiputera
  • perkongsian dan syarikat Sdn. Bhd. CODO memerlukan sekurang-kurangnya 30% ekuiti Bumiputera
  • stesen DODO tidak tertakluk kepada syarat ekuiti Bumiputera
  • ekuiti asing tidak dibenarkan bagi semua jenis stesen

Pengecualian utama dan kes khas:

  • anak kandung kepada pengusaha sedia ada yang mengambil alih stesen CODO dikecualikan daripada syarat ekuiti Bumiputera
  • pengusaha CODO yang ditawarkan stesen kedua dan seterusnya masih perlu mematuhi syarat 30% ekuiti Bumiputera dan mendapat sokongan syarikat minyak
  • permohonan untuk mengusahakan stesen secara sementara (babysit) dikemukakan secara bertulis oleh syarikat minyak kepada Cawangan Petroleum & Gas KPDN, dan dinilai berdasarkan kesinambungan bekalan di kawasan tersebut serta jarak ke stesen minyak terdekat

Dokumen sokongan

Semua pemohon perlu mengemukakan salinan pendaftaran perniagaan, yang berbeza mengikut jenis perniagaan dan wilayah:

Jenis perniagaanDokumen
Sdn. Bhd.Cetakan penuh maklumat syarikat SSM bertarikh dalam tempoh 3 bulan dari tarikh permohonan
Milikan tunggal atau perkongsian (Sabah)Salinan Borang B beserta maklumat pemilik terkini
Milikan tunggal atau perkongsian (Sarawak)Salinan Borang 1 (Seksyen 5, 23, dan 24(2)) dan Cabutan Pendaftaran Nama-Nama Perniagaan terkini
Koperasi, persatuan, atau pertubuhanSalinan sijil pendaftaran beserta butiran pemilik atau ahli Lembaga Pengarah
contoh surat sokongan BOMBA untuk permohonan lesen premis perniagaan
Contoh surat sokongan BOMBA.

Selain itu, pemohon baharu juga perlu mengemukakan:

  • surat sokongan asal daripada syarikat minyak, dikeluarkan dalam tempoh 6 bulan, dialamatkan kepada Ketua Setiausaha KPDN, ditandatangani oleh penandatangan yang sah bagi syarikat minyak, dan menyatakan:
    • alamat stesen yang sama dengan alamat dalam lesen PBT
    • sama ada stesen tersebut CODO atau DODO
    • kuantiti simpanan yang diluluskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA)
    • syor tempoh kelulusan bagi Kebenaran PDA dan lesen CSA
  • penyata bank bagi bulan terkini yang menunjukkan baki minimum RM50,000 bagi enterprise
  • lesen premis Pihak Berkuasa Tempatan yang masih sah daripada PBT
  • surat sokongan BOMBA asal (seperti di atas)
  • surat kelulusan tapak pembangunan daripada KPDN Putrajaya (bagi stesen minyak dan PCS baharu)
  • salinan Kebenaran PDA dan lesen CSA pengusaha terdahulu (bagi pengambilalihan)
  • surat sokongan LKIM (bagi skid tank)

Yuran dan tempoh sah

Fi dibayar secara tahunan bagi kedua-dua kebenaran dan lesen:

  • RM25 setahun bagi Kebenaran PDA 1
  • RM10 setahun bagi lesen CSA

Kedua-dua lesen ini dikeluarkan serentak untuk tempoh 1 – 5 tahun bergantung pada cadangan syarikat minyak dalam surat sokongan dan budi bicara KPDN.

Secara rasmi, permohonan baharu dikatakan akan diproses dalam tempoh tujuh hari bekerja jika semua dokumen lengkap, namun ia boleh mengambil masa lebih lama bergantung pada jumlah permohonan yang sedang menunggu untuk diproses.

Langkah permohonan

Setelah semua syarat dipenuhi dan dokumen sokongan disediakan, permohonan Kebenaran PDA 1 dikendalikan sepenuhnya secara dalam talian melalui portal BLESS Generasi Baharu.

laman utama BLESS Generasi Baharu (BNG) untuk permohonan Kebenaran PDA 1 dan lesen CSA

Pemohon baharu perlu mendaftar akaun, dan seterusnya permohonan melibatkan enam langkah utama:

  1. Log masuk ke BLESS dan pilih modul gabungan PDA / CSA
  2. Lengkapkan permohonan dan muat naik semua dokumen sokongan yang diperlukan
  3. Semak status permohonan dalam BLESS dan jawab sebarang kuiri daripada KPDN
  4. Setelah diluluskan, KPDN akan menghantar emel apabila kebenaran dan lesen sedia untuk diambil
  5. Bayar fi secara dalam talian melalui BLESS
  6. Ambil Kebenaran PDA 1 dan lesen CSA anda dalam tempoh 30 hari dari tarikh pemakluman

Bagi permohonan baharu, hanya pemilik, pemegang saham syarikat, atau wakil sah yang dilantik oleh syarikat minyak dibenarkan mengambil kebenaran di kaunter.

Tahniah, anda kini pengusaha stesen minyak yang berlesen!

Pembaharuan

Pembaharuan juga dibuat melalui BLESS dan perlu dikemukakan tiga bulan sebelum tarikh tamat tempoh kebenaran bersama dokumen sokongan berikut:

  • surat sokongan asal yang baharu daripada syarikat minyak yang dikeluarkan dalam tempoh 6 bulan
  • salinan Kebenaran PDA 1 sedia ada beserta lampiran pemegang saham
  • salinan lesen CSA sedia ada
  • dokumen pendaftaran perniagaan terkini
  • lesen PBT terkini
  • surat sokongan BOMBA asal

Kerana surat sokongan lama sudah tidak boleh digunakan, pastikan hubungan anda dengan syarikat minyak sentiasa baik!

pam minyak sebagai contoh perniagaan yang memerlukan Kebenaran PDA 1 daripada KPDN

Pengambilan boleh dibuat oleh pemilik, pemegang saham, atau wakil syarikat minyak dengan membawa surat wakil asal dan salinan MyKad.

Itu saja daripada kami, dan semoga permohonan anda berjalan lancar 😊

Biar MISHU uruskan permohonan PDA 1 anda

Jika anda memerlukan bantuan mendapatkan Kebenaran PDA 1 dan lesen CSA bagi stesen minyak anda, pasukan kami sedia membantu menyediakan dokumen dan berurusan dengan KPDN dari mula ke hujung.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

please include country code

Scroll to top