Panduan Permohonan Surat Sokongan Bomba Untuk Lesen Perniagaan
Surat sokongan Bomba adalah sebuah dokumen sokongan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat tempatan yang mengesahkan sebuah premis mematuhi piawaian keselamatan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988.
Ia antara dokumen yang paling kerap diwajibkan untuk memohon lesen komposit.

Mujurnya, untuk dapatkan surat ini tak susah dan panduan kami menerangkan cara pemilik perniagaan boleh uruskannya sendiri, tapi kalau nak minta bantuan kami pun boleh🙂
Jom mulakan.
Langkah-langkah permohonan
Butiran mungkin berbeza mengikut lokasi, tapi lazimnya akan ada lima langkah utama:
- Sediakan dokumen sokongan
- Hantar surat rasmi kepada Jabatan Bomba tempatan
- Jalani pemeriksaan awal
- Lakukan pembetulan atau penambahbaikan pada premis, dan
- Lulus pemeriksaan susulan
Langkah 1: Dokumen sokongan
Dokumen yang biasanya diperlukan termasuk:
- salinan MyKad / pasport pemilik
- dokumen pendaftaran perniagaan
- perjanjian sewaan / geran hak milik
- gambar bahagian dalam dan luar premis
- pelan lantai
- butiran peralatan keselamatan kebakaran sedia ada
Jangan risau kalau belum ada peralatan keselamatan kerana pegawai Bomba akan beritahu apa yang perlu disediakan lepas pemeriksaan awal nanti.
Langkah 2: Surat rasmi Jabatan Bomba tempatan
Sesetengah PBT ada templat surat khusus, contohnya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ):

Ada PBT yang tiada templat rasmi, lantas anda perlu tulis surat sendiri seperti pemohon dari Bangi di bawah, yang terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang:

Dapatkan maklumat daripada PBT anda dan utus surat kepada Jabatan Bomba tempatan untuk memohon pemeriksaaan premis berserta dokumen sokongan.
Langkah 3–5: Pemeriksaan awal, pembetulan, dan pemeriksaan susulan
Pihak Bomba akan lawat premis anda untuk memeriksa pematuhan syarat keselamatan dan anda akan:
- dimaklumkan tentang penambahbaikan yang diperlukan dilakukan, dan
- diberikan tempoh waktu untuk membuat pembetulan tersebut
Selepas siap, maklumkan pihak Bomba dan mereka akan jalankan pemeriksaan susulan.
Jika tiada lagi isu dikesan, mereka akan keluarkan surat sokongan seperti contoh berikut:

Anda kini selangkah lebih hampir untuk mulakan permohonan lesen komposit anda!
Premis yang mungkin dikecualikan
Menurut portal rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, empat jenis premis berikut tidak memerlukan surat sokongan Bomba tambahan:
- premis yang dikenal pasti sebagai ‘premis ditetapkan’ dan ada perakuan Bomba yang masih sah
- restoran atau kedai setingkat dengan jumlah keluasan lantai tidak melebihi 750 meter persegi
- kedai di bawah Jadual Kelima, Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) 1984 yang:
- beroperasi di tingkat aras tanah (tingkat bawah), dan
- mempunyai jumlah keluasan lantai tidak melebihi 750 meter persegi
- pejabat yang beroperasi dari tingkat bawah hingga tingkat 4, dengan:
- jumlah keluasan lantai tidak melebihi 1,000 meter persegi, dan
- ketinggian tidak melebihi 12 meter dari aras tanah hingga ke tingkat tertinggi yang digunakan
Meskipun begini, perlu diingatkan setiap PBT ada tahap ketegasan sendiri, jadi semak dengan PBT anda untuk mengesahkan sama ada premis anda benar-benar dikecualikan di bawah bidang kuasa mereka.
Itu sahaja yang anda perlu tahu tentang surat sokongan Bomba!
Namun, alang-alang kita cerita tentang surat sokongan, pastikan anda tak lupa agensi lain juga!
Jangan lupa surat sokongan agensi lain!
Seperti mana banyak jenis perniagaan perlu surat sokongan Bomba sebelum mohon lesen komposit, surat sokongan daripada agensi lain juga sering diwajibkan!
Sebagai contoh, premis makanan dan minuman (F&B) turut memerlukan surat sokongan daripada Jabatan Kesihatan & Alam Sekitar tempatan:

Selain itu, banyak perniagaan yang beroperasi di kawasan bandar juga perlu mendapatkan surat sokongan daripada Jabatan Perancangan Bandar tempatan:

Dan jika anda bercadang untuk mengubah suai premis, anda juga wajib mendapatkan surat sokongan daripada Jabatan Kawalan Bangunan tempatan:

Ini hanyalah beberapa contoh dan masih ada surat sokongan lain bergantung pada aktiviti perniagaan serta lokasi anda. Jika anda inginkan bantuan, dipersilakan hubungi kami.
Itu sahaja daripada kami, semoga proses permohonan lesen anda berjalan lancar!
Biar MISHU bantu dapatkan surat sokongan Bomba anda
Nak dapatkan surat sokongan daripada pelbagai agensi tak susah tapi bagi pemilik perniagaan yang sibuk, pasukan MISHU boleh bantu sediakan dokumen sokongan, hubungi agensi berkaitan, dan uruskan penghantaran permohonan bagi pihak anda.