Panduan Pendaftaran Sijil MeSTI Untuk Pembuat Makanan

Panduan Pendaftaran Sijil MeSTI Untuk Pembuat Makanan

Di Malaysia, sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) ialah pengiktirafan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa sebuah premis pembuatan makanan mampu menghasilkan produk yang mencapai standard keselamatan dan kualiti minimum mereka.

Contoh sijil MeSTI.
Contoh sijil MeSTI.

Berbanding program lain, MeSTI adalah laluan termudah untuk pengilang memenuhi syarat Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang mewajibkan program jaminan keselamatan makanan.

Panduan kami menerangkan apa yang anda perlu tahu untuk uruskan permohonan sendiri, termasuk:

  • yuran pensijilan
  • syarat kelayakan
  • 10 elemen MeSTI
  • langkah-langkah dalam proses permohonan
  • audit yang perlu disediakan
  • pembimbingan dan tindakan pembetulan
  • tempoh sah, pemantauan dan pembaharuan
  • nota ringkas tentang hubungan MeSTI, GMP dan HACCP

Sudah tentu, anda juga dialu-alukan untuk melangkau panduan ini dan terus hubungi kami untuk bantuan!

Kalau tidak, jom mulakan.

Yuran permohonan sijil

Sehingga September 2026, KKM tidak mengenakan yuran untuk pensijilan MeSTI, malah turut menawarkan pembimbingan teknikal percuma bagi memastikan premis anda memenuhi standard yang ditetapkan. Apa yang sebenarnya diperlukan daripada anda ialah masa dan usaha, kerana tahap ini wajib dicapai.

Sudah tentu ini tidak mengambil kira caj profesional jika anda lantik pihak ketiga untuk membantu.

Syarat kelayakan

Pendaftaran premis makanan FoSIM
Pendaftaran premis makanan FoSIM

Premis anda mestilah:

Dokumen sokongan:

  • borang permohonan (MeSTI-1/12-02)
  • senarai semak permohonan (MeSTI-2/12-02)
  • senarai semak elemen (MeSTI-3/12-02), jika berkenaan
  • salinan slip pendaftaran premis KKM yang sah
  • salinan Sijil Pendaftaran SSM
  • salinan lesen pihak berkuasa tempatan, atau surat pengesahan daripada agensi kerajaan
  • salinan lesen air minuman berbungkus, air mineral semula jadi atau penyediaan ais KKM (jika berkenaan)
  • carta aliran proses produk dan senarai produk
  • senarai syarikat yang berurusan dengan anda secara OEM

10 elemen MeSTI

Permohonan MeSTI melibatkan audit yang menilai premis anda berdasarkan 10 elemen dalam senarai semak MeSTI. Anda boleh menggunakan senarai rasmi di bawah untuk membuat audit sendiri.

Powered By EmbedPress

Bidang KawalanApa Yang Dirangkumi
1. Reka Bentuk dan KemudahanLokasi, susun atur, dan langkah mencegah pencemaran silang.
2. Pengendali MakananPemeriksaan kesihatan, suntikan anti-tifoid, dan prosedur melaporkan pekerja yang menghidap penyakit berjangkit.
3. LatihanLatihan keselamatan makanan untuk mereka yang menjalankan kerja.
4. Penyelenggaraan dan SanitasiPembersihan, penyelenggaraan, kawalan perosak dan pengurusan sisa.
5. Kawalan Bahan MentahKawalan penerimaan, kawasan penerimaan dan kemudahan pembersihan.
6. Kawalan ProsesKawalan ke atas langkah-langkah pemprosesan itu sendiri.
7. Kawalan PembungkusanKesesuaian dan kawalan bahan pembungkusan.
8. Kawalan PenyimpananKeadaan dan kawalan bagi bahan serta produk yang disimpan.
9. Kawalan Pengangkutan dan PengedaranMengekalkan keselamatan produk selepas ia meninggalkan premis anda.
10. Kawalan KebolehkesananKaedah mengenal pasti dan mengesan semula produk yang diedarkan, prosedur bertulis, dan rekod yang lengkap.

Setiap elemen yang memerlukan prosedur mestilah mempunyai skop, objektif, kaedah, jadual atau kekerapan, rekod, dan tanggungjawab yang dinyatakan dengan jelas secara bertulis.

Langkah permohonan

Permohonan pensijilan MeSTI mempunyai tujuh langkah utama, dengan beberapa audit di antaranya.

contoh borang permohonan sijil MeSTI
Contoh borang yang perlu anda isi.
LangkahKeterangan
1. PenghantaranMohon melalui portal FoSIM, atau muat turun borang MeSTI-1/12-02 daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM/FSQ).

Hantar bersama dokumen sokongan ke Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah anda.
2. SemakanPermohonan anda disemak, disahkan dan direkodkan.
3. Audit LapanganJuruaudit akan melawat premis anda dan menilai anda berdasarkan 10 elemen. Tarikh dipersetujui bersama antara anda dan juruaudit.
4. PembimbinganPemohon yang didapati kurang bersedia akan dibimbing, secara percuma, untuk membangunkan Program Jaminan Keselamatan Makanan mereka.
5. Audit SusulanTindakan pembetulan disahkan, sama ada melalui dokumen atau lawatan semula.
6. Laporan AkhirJuruaudit menyediakan laporan dan mengemukakannya kepada Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri untuk sokongan, sebelum dihantar ke ibu pejabat BKKM.
7. Kelulusan JawatankuasaJawatankuasa Pensijilan MeSTI membentangkan laporan tersebut dan membuat keputusan mengenai kelulusan.

Audit premis

Pegawai dari KKM, Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah anda akan melawat premis anda untuk menilai tahap kesediaan anda bagi setiap satu daripada 10 elemen MeSTI.

Ketidakakuran akan direkodkan dalam borang audit dan diserahkan kepada anda sebagai permintaan tindakan pembetulan. Namun, juruaudit bukan sekadar hadir untuk meluluskan atau menggagalkan anda; jika anda didapati kurang bersedia, anda akan dibimbing.

Bimbingan teknikal

KKM atau agensi pembimbing lain menyediakan bimbingan teknikal sehingga enam bulan kepada perniagaan yang memerlukan bantuan untuk mencapai pematuhan MeSTI. Yang memerlukan tempoh lebih lama boleh memohon kepada Jabatan Kesihatan Negeri sekurang-kurangnya sebulan sebelum tempoh enam bulan itu tamat.

Tindakan pembetulan

Maklum balas terhadap ketidakakuran mesti dikemukakan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh audit premis, atau permohonan terbatal secara automatik. Sekiranya anda memerlukan masa tambahan, anda mesti memaklumkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri secara bertulis, berserta justifikasi, dalam tempoh dua minggu dari tamatnya tempoh tiga bulan tersebut.

Audit susulan

Jika tindakan pembetulan anda memerlukan pengesahan, tetapi juruaudit berpuas hati degnan bukti yang anda hantar bukti melalui e-mel atau secara bertulis, lawatan semula tidak diperlukan. Namun, ini mengikut budi bicara mereka, dan pegawai masih mungkin ingin membuat lawatan susulan untuk mengesahkan pembetulan telah dilaksanakan.

Jika tiada isu, jawatankuasa akan dimaklumkan dan sijil MeSTI anda akan dikeluarkan melalui FoSIM.

Tempoh sah, pemantauan dan pembaharuan

Sijil MeSTI anda sah selama tiga tahun, dan audit pemantauan dijalankan sekurang-kurangnya sekali setahun oleh Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah anda.

Jika ketidakakuran dikesan, anda sekali lagi diberi tempoh tiga bulan untuk membetulkannya.

Akhir sekali, permohonan pembaharuan dikemukakan dalam tempoh tiga bulan sebelum tarikh luput, menggunakan borang dan proses yang sama seperti permohonan baharu.

Hubungan GMP – MeSTI – HACCP

MeSTI logo
Anak bongsu program keselamatan makanan.

Mari kita tetapkan dengan pantas maksud ketiga-tiga standard kualiti makanan ini dari segi praktikal:

  • MeSTI ialah peringkat permulaan
  • GMP ialah standard pertengahan
  • HACCP ialah yang paling ketat

Oleh sebab itu, pensijilan HACCP secara automatik memberi anda GMP dan MeSTI sekali. Nasihat kami secara amnya adalah untuk memohon pensijilan tertinggi yang anda perlukan pada akhirnya. Jika itu MeSTI, maka MeSTI boleh!

Biar MISHU bantu permohonan sijil MeSTI anda

Secara langsung dan melalui rakan kami, MISHU membantu pengusaha makanan di Malaysia memohon pelbagai lesen agensi daerah dan persekutuan. Hubungi kami hari ini untuk bantuan permohonan sijil MeSTI buat operasi anda!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

please include country code

Scroll to top