Panduan Lengkap Cara Tuntut Hutang Pelanggan Melebihi RM10,000
Dalam dunia perniagaan, biasa untuk izinkan pelanggan membayar lambat sedikit.
Namun mana-mana usahawan yang ingin bertahan lama mesti tahu cara menangani pelanggan yang sentiasa ‘ditimpa musibah’ hingga tak dapat bayar bil mereka.

Lazimnya, jika hutang melebihi RM10,000, tindakan wajar diambil sebelum ia menjadi isu serious.
Di bawah, kami kongsikan empat langkah untuk tuntut bayaran tertunggak, atau mengurangkan kerugian perniagaan untuk hutang pelanggan yang melebihi tahap ini.
Jom, mulakan.
Isi Kandungan
- ⏳ Tempoh had masa untuk tuntutan hutang
- Langkah 1: Nilai kemungkinan tuntut hutang
- Langkah 2: Hantar notis peringatan bayaran
- Langkah 3: Hantar Surat Tuntutan (LOD)
- Langkah 4: Pilih kaedah penguatkuasaan tuntutan
- Dapatkan pelepasan cukai untuk hutang lapuk
- Putuskan sama ada mahu faedah lewat bayar
- Biar MISHU bantu tuntut hutang RM10,000 anda
⏳ Tempoh had masa untuk tuntutan hutang
- Di bawah Akta Had Masa Malaysia 1953, pemiutang mempunyai enam tahun untuk menuntut hutang.
- Tempoh enam tahun ini bermula dari tarikh bayaran sepatutnya dibuat.
- Jika pelanggan mengakui hutang / membuat bayaran separa, tempoh enam tahun akan mula semula dari tarikh akuan / bayaran separa tersebut.
- Penguatkuasaan Perintah Mahkamah ke atasa penghutang sah untuk enam tahun.
- Mahkamah boleh melanjutkan penghakiman selama lagi enam tahun jika ada sebab.
- Jika perniagaan anda membiarkan tempoh had masa tamat, tuntutan tidak lagi boleh dilakukan.
- Pendeknya, jangan bertangguh jika anda mahu tuntut kembali RM10,000 anda!
Dengan enam tahun untuk menuntut invois tertunggak atau bayaran yang belum dijelaskan, inilah langkah seterusnya untuk anda dapatkan balike RM10,000 anda!.
Langkah 1: Nilai kemungkinan tuntut hutang

Walaupun RM10,000 bukan angka yang melampau, ada tiga rintangan yang boleh menyukarkan tuntutan:
- pelanggan adalah individu muflis atau Sdn Bhd yang telah digulungkan
- pelanggan mempunyai sebab munasabah untuk enggan membayar, atau
- pelanggan sudah tiada lagi aset untuk disita dan dijual
Alasan yang kukuh bermaksud penghutang mempunyai sebab sah untuk menolak bayaran seperti ketidakpuasan hati dengan perkhidmatan anda.
Lantas, sebelum mulakan tuntutan, pastikan anda tidak akan menghadapi halangan di atas.
Untuk menilai kedudukan kewangan individu:
- gunakan e-Insolvensi untuk semakan status muflis
- bagi pemilik tunggal, semak status perniagaan melalui MYDATA-SSM, dan
- pertimbangkan siasatan lebih mendalam untuk kesan aset tersembunyi
Nota: Tuntutan masih boleh diteruskan meskipun ada halangan, cuma ia mungkin dipertikai dan anda tidak dibayar jumlah penuh.
Langkah 2: Hantar notis peringatan bayaran

Keluarkan peringatan bayaran terakhir yang berhemah tetapi tegas.
Walaupun mesej ini tidak mempunyai kuasa undang-undang, ia masih boleh mendorong pelanggan untuk menyelesaikan baki tertunggak mereka — terutamanya untuk amaun yang lebih kecil.
Anda boleh gunakan templat notis peringatan bayaran berikut:
Templat Peringatan Pembayaran Akhir
Kepada [Nama Penerima/Jabatan Akaun],
Semoga anda berada dalam keadaan sihat. Merujuk kepada invois kami [Nombor Invois], bertarikh [Tarikh Invois], berjumlah RM [Jumlah Tertunggak], yang masih belum dijelaskan walaupun beberapa peringatan telah dihantar sebelum ini. Sehingga hari ini, pembayaran telah tertunggak selama [Bilangan Hari Tertunggak] hari.
Sila ambil perhatian bahawa berdasarkan terma yang telah dipersetujui, bayaran lewat akan dikenakan caj faedah sebanyak [X]% sebulan ([Y]% setahun), yang telah dikenakan ke atas jumlah tertunggak. Baki tertunggak semasa, termasuk faedah yang telah terkumpul, adalah sebanyak RM [Jumlah Terkini Tertunggak].
Kami dengan hormatnya memohon agar pembayaran penuh dibuat selewat-lewatnya pada [Nyatakan Tarikh Akhir, contohnya 7 hari dari tarikh e-mel ini] bagi mengelakkan sebarang tindakan lanjut. Pembayaran boleh dibuat ke akaun berikut:
- Nama Bank: [Nama Bank Anda]
- Nama Akaun: [Nama Perniagaan Anda]
- Nombor Akaun: [Nombor Akaun Anda]
Sekiranya kami masih tidak menerima pembayaran penuh menjelang [Tarikh Akhir], kami tiada pilihan selain untuk meneruskan tindakan lanjut, termasuk memulakan prosiding undang-undang untuk mendapatkan jumlah yang terhutang, berserta sebarang kos tambahan yang terlibat.
Jika anda telah membuat pembayaran, sila abaikan mesej ini. Jika belum, kami mohon agar perkara ini diberikan perhatian segera. Sekiranya anda ingin berbincang lanjut, jangan ragu untuk menghubungi kami di [Maklumat Perhubungan Anda].
Terima kasih atas perhatian segera anda terhadap perkara ini.
Yang benar,
[Nama Anda]
[Jawatan Anda]
[Nama Perniagaan Anda]
[Maklumat Perhubungan Anda]
Jika pelanggan tidak endahkan peringatan anda, hantar satu lagi setiap hari selama enam tahun—mana tahu satu hari kelak anda akhirnya dapat patahkan semangat mereka. 😅
Jika tidak berhasil juga…tiba masanya untuk lantik peguam tuntutan hutang!
Langkah 3: Hantar Surat Tuntutan (LOD)

Surat Tuntutan (LOD) ialah surat yang dihantar oleh peguam yang menyatakan jumlah hutang yang perlu dibayar dan menuntut bayaran dalam tempoh tertentu—biasanya antara 7 hingga 21 hari.
LOD daripada seorang peguam adalah sesuatu yang sangat serius dan biasanya membawa kepada salah satu daripada dua keputusan berikut:
- penghutang meminta untuk berunding bagi menyelesaikan hutang tanpa melibatkan mahkamah
- penghutang enggan membayar / abaikan surat, dan peguam anda memfailkan saman di mahkamah
Pilihan 1: Rundingan luar mahkamah
Peguam anda akan berunding dengan penghutang (atau peguam mereka) untuk mencapai persetujuan bayaran yang dipersetujui bersama. Ini boleh melibatkan:
- bayaran sebahagian hutang
- pelan bayaran ansuran, dan
- faedah atas jumlah asal
Jika pertikaian benar-benar berat sebelah, anda mungkin dapat kutip jumlah penuh secara sekali gus.
Pilihan 2: Dapatkan Penghakiman mahkamah

Jika rundingan tidak berhasil dan amaun hutang cukup besar untuk risiko kes mahkamah, pertimbangkan memulakan prosiding mahkamah untuk mendapatkan Penghakiman terhadap pelanggan.
Penghakiman boleh diperoleh melalui beberapa cara:
- Penghakiman Ingkar (Default of appearance): Penghutang gagal membalas atau hadir ke mahkamah dalam tempoh ditetapkan
- Penghakiman Ringkasan (Summary judgment): Hakim mendapati penghutang jelas salah
- Perbicaraan penuh
Dengan Penghakiman, anda boleh memohon pelbagai kaedah penguatkuasaan undang-undang untuk menuntut hutang tersebut.
Langkah 4: Pilih kaedah penguatkuasaan tuntutan

Pernah tengok babak dalam filem di mana si penyeksa buka beg penuh alat seksaan?
Sekarang giliran anda — masa untuk pilih ‘alat’ perundangan untuk paksa pelanggan membayar hutang:
- Saman Penghutang Penghakiman: Penghutang diperintahkan untuk membayar atau berdepan penalti
- Prosiding Garnishee: Kutip wang terus daripada akaun bank atau pelanggan penghutang
- Writ Penyitaan dan Jualan: Jual aset penghutang untuk mendapatkan kembali hutang
- Kebankrapan (untuk hutang melebihi RM100,000): Likuidasi aset melalui undang-undang kebankrapan
Peguam anda boleh menasihatkan tindakan paling sesuai untuk situasi anda!
Dapatkan pelepasan cukai untuk hutang lapuk

Jika tuntutan hutang tidak mungkin, pilihan terbaik adalah memohon pelepasan cukai supaya anda tidak dikenakan cukai—kalau tidak LHDN boleh menganggapnya sebagai pendapatan bercukai!
Untuk amaun kecil, biasanya tiada masalah untuk ditulis sebagai rugi. Namun bagi jumlah melebihi RM10,000, anda perlu buktikan pelanggan telah mungkir janji bayaran, dan anda telah mengambil langkah untuk menuntut hutang tersebut.
Putuskan sama ada mahu faedah lewat bayar

Jika kontrak atau invois anda mengandungi klausa mengenai caj lewat bayar, anda boleh pertimbangkan untuk menguatkuasakannya — dengan syarat:
- Terma bayaran dan faedah telah dimaklumkan dengan jelas sejak awal
- Kadar faedah yang dikenakan tidak keterlaluan atau menindas
Sudah tentu, hanya kerana anda boleh mengenakan caj ini, tidak bermaksud anda patut – kami cuma mahu anda buat keputusan dengan maklumat yang lengkap!
Biar MISHU bantu tuntut hutang RM10,000 anda
MISHU bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan perniagaan profesional untuk menawarkan servis komprehensif untuk perniagaan di Malaysia. Biar kami hubungkan anda dengan pakar yang betul untuk selesaikan masalah anda!