Panduan Tuntutan Hutang Untuk Perniagaan Di Malaysia (+Notis Tuntut Pembayaran)

Panduan Tuntutan Hutang Untuk Perniagaan Di Malaysia (+Notis Tuntut Pembayaran)

Akta Had Masa 1953 memberikan pemiutang di Malaysia enam tahun untuk mengutip hutang tertunggak; setelah tempoh ini tamat, mereka tidak lagi berhak menuntutnya!

Kerana bayaran tertunda adalah lumrah berniaga, panduan ini menerangkan bagaimana pemilik perniagaan boleh menangani proses tuntutan hutang tanpa taktik kotor.

artikel berita tentang ah long yang gunakan taktik kotor untuk menuntut hutang sebagai amaran kepada perniagaan untuk tidak menuntut hutang secara haram
Janganlah sampai makanan tradisional dijadikan senjata.

Jika anda sudah tahu langkah yang perlu diambil, teruskan ke notis tuntutan pembayaran kami.

Jika ini kali pertama anda berdepan isu kutipan hutang, bacalah panduan ini dari mula ke akhir!

Agar jelas, pembaca adalah pemiutang dan pihak yang berhutang adalah penghutang.

Jom, mulakan.

Nilai peluang hutang dibayar

grafik dadu untuk menunjukkan cara mengira kebarangkalian pemulihan hutang daripada pemiutang

Kadang-kala, kemungkinan mengutip hutang begitu rendah sehingga mengejar penghutang hanya akan menyebabkan pemiutang lebih rugi.

Lantas, langkah pertama adalah penilaian peluang hutang dilangsaikan dengan tiga soalan:


1. Adakah penghutang masih wujud?

Kami tahu bunyinya jelas, tapi ia memberi impak cukup besar terhadap peluang tuntutan hutang, jadi pastikan entiti yang berhutang masih lagi wujud!

Kaedah semakan bergantung pada jenis penghutang:

Jika penghutang adalah individu muflis atau syarikat yang telah digulung, usaha menuntut hutang hampir pasti sia-sia kecuali jika ada penjamin.

2. Adakah penghutang mempunyai alasan sah?

Selidik jika penghutang tidak membayar hutang atas alasan yang kukuh.

Contohnya, jika mereka mendakwa tidak berpuas hati dengan perkhidmatan pemiutang dan ada bukti yang menyokong dakwaan ini, proses tuntutan hutang mungkin melibatkan pertikaian dan pihak mahkamah.

Namun, jika mereka tidak membayar hutang tanpa sebab, proses tuntutan jauh lebih mudah.

3. Adakah penghutang mampu membayar?

Jika penghutang masih wujud dan tiada alasan, pastikan mereka ada aset cukup untuk langsaikan hutang!

Profil CTOS / SSM boleh menunjukkan situasi kewangan penghutang dan kemampuan mereka. Fokus kepada maklumat kewangan dan modal berbayar dalam laporan.

sampel laporan CTOS menunjukkan modal berbayar penghutang
Nisbah kewangan sihat dan modal berbayar tinggi adalah tanda bagus.

Berhati-hati: Laporan CTOS / SSM mungkin tidak lengkap jika sumber sudah lama tidak dikemaskini dan jika penghutang ada aset di luar negara, ia tidak akan disenaraikan.

Untuk jumlah hutang yang tinggi, pertimbangkan pelantikan penyiasat forensik untuk menyelidik sumber pendapatan dan aset penghutang dengan lebih menyeluruh.

Setelah tiga soalan di atas terjawab, pemiutang mempunyai dua pilihan utama.

Pilihan 1: Mulakan tuntutan hutang

Jika tiga syarat di atas dipenuhi, ada peluang baik untuk hutang dibayar melalui rundingan atau perintah mahkamah, dan keduanya bermula dengan Surat Tuntutan Pembayaran (Letter of Demand / LOD).

Selain itu, anda juga boleh menghantar notis peringatan pembayaran.

Surat Tuntutan Bayaran (LOD)

Tangan terhulur sebagai simbol surat tuntutan yang dihantar kepada penghutang

Ada dua jenis Surat Tuntutan Bayaran (LOD):

  • LOD Biasa: Surat tuntutan lazim menuntut bayaran dalam tempoh tertentu.
  • LOD Statutori: Digunakan untuk menggulung syarikat penghutang jika gagal membayar

Dalam konteks ini, kita merujuk kepada LOD Biasa, iaitu surat yang dihantar oleh peguam kepada penghutang menyatakan jumlah hutang yang perlu dibayar dalam tempoh tertentu (biasanya 7- 21 hari).

Tujuan LOD ialah untuk menggesa penghutang selesaikan hutang tanpa libatkan mahkamah.

Notis peringatan pembayaran

Kami sertakan bahagian ini untuk tunjukkan perbezaan antara LOD dan notis peringatan pembayaran.

Kedua-duanya bertujuan mendapatkan bayaran tertunggak, tetapi:

  • LOD ialah notis rasmi dengan kuasa undang-undang yang dikirim oleh peguam
  • peringatan pembayaran adalah notis tidak rasmi tanpa kuasa undang-undang yang boleh dihantar sesiapa

Pemiutang yang ingin uruskan tuntutan hutang sendiri boleh gunakan notis peringatan di bawah:

Templat Peringatan Pembayaran Akhir

Kepada [Nama Penerima/Jabatan Akaun],

Semoga anda berada dalam keadaan sihat. Merujuk kepada invois kami [Nombor Invois], bertarikh [Tarikh Invois], berjumlah RM [Jumlah Tertunggak], yang masih belum dijelaskan walaupun beberapa peringatan telah dihantar sebelum ini. Sehingga hari ini, pembayaran telah tertunggak selama [Bilangan Hari Tertunggak] hari.

Sila ambil perhatian bahawa berdasarkan terma yang telah dipersetujui, bayaran lewat akan dikenakan caj faedah sebanyak [X]% sebulan ([Y]% setahun), yang telah dikenakan ke atas jumlah tertunggak. Baki tertunggak semasa, termasuk faedah yang telah terkumpul, adalah sebanyak RM [Jumlah Terkini Tertunggak].

Kami dengan hormatnya memohon agar pembayaran penuh dibuat selewat-lewatnya pada [Nyatakan Tarikh Akhir, contohnya 7 hari dari tarikh e-mel ini] bagi mengelakkan sebarang tindakan lanjut. Pembayaran boleh dibuat ke akaun berikut:

  • Nama Bank: [Nama Bank Anda]
  • Nama Akaun: [Nama Perniagaan Anda]
  • Nombor Akaun: [Nombor Akaun Anda]

Sekiranya kami masih tidak menerima pembayaran penuh menjelang [Tarikh Akhir], kami tiada pilihan selain untuk meneruskan tindakan lanjut, termasuk memulakan prosiding undang-undang untuk mendapatkan jumlah yang terhutang, berserta sebarang kos tambahan yang terlibat.

Jika anda telah membuat pembayaran, sila abaikan mesej ini. Jika belum, kami mohon agar perkara ini diberikan perhatian segera. Sekiranya anda ingin berbincang lanjut, jangan ragu untuk menghubungi kami di [Maklumat Perhubungan Anda].

Terima kasih atas perhatian segera anda terhadap perkara ini.

Yang benar,
[Nama Anda]
[Jawatan Anda]
[Nama Perniagaan Anda]
[Maklumat Perhubungan Anda]

Semoga berjaya!

Penyelesaian di luar mahkamah

Gambar berjabat tangan sebagai simbol penyelesaian hutang tanpa perlu ke mahkamah

Selepas Surat Tuntutan dihantar, lazimnya kedua-dua pihak akan berbincang hingga setuju dengan:

  • bayaran sebahagian daripada jumlah hutang
  • pelan bayaran ansuran, atau
  • pembayaran lain yang dipersetujui bersama

Jika penghutang enggan berunding atau menawarkan penyelesaian yang tidak munasabah, dan jumlah hutang adalah tinggi (>RM150,000), tindakan undang-undang boleh dipertimbangkan.

Pemfailan saman tuntutan hutang

Gambar keputusan mahkamah terhadap penghutang

Jika rundingan gagal, pemiutang boleh lantik peguam dan dapatkan perintah mahkamah yang mewajibkan penghutang membayar hutang mereka.

Jika penghutang masih enggan bayar, langkah penguatkuasaan berikut boleh digunakan:

Langkah PenguatkuasaanPenerangan
Saman Penghutang PenghakimanPenghutang dipanggil ke mahkamah, dan mungkin diarahkan untuk membayar secara penuh atau melalui ansuran

Kegagalan pematuhan boleh mengakibatkan hukuman penjara sehingga 6 minggu
Prosiding GarnisheeMahkamah memerintahkan wang penghutang daripada pihak ketiga dibayar terus kepada pemiutang

Contoh pihak ketiga termasuk bank, majikan, dan pelanggan
Writ Penyitaan & JualanAset penghutang disita dan dilelong; hasil digunakan untuk membayar hutang
Penggulungan Syarikat (untuk syarikat.)Untuk syarikat yang berhutang melebihi RM50,000, di mana aset syarikat dilikuidasi untuk membayar pemiutang
Kebankrapan (untuk individu)Untuk individu dengan hutang melebihi RM100,000, di mana mereka diisytiharkan muflis dan aset mereka dilikuidasi

Berwaspada dengan kos jika libatkan mahkamah

Kami pernah dengar ada kes tuntutan hutang yang berlarutan hingga empat tahun! Walaupun ini contoh ekstrem, tidak jarang untuk kes begini mengambil beberapa tahun untuk selesai.

Selain masa, kos guaman juga boleh mencecah ratusan ribu Ringgit untuk kes yang rumit.

Pendeknya, kami faham kadangkala tindakan undang-undang diambil untuk ‘menunjukkan ketegasan’, tetapi berhati-hati—bandingkan jumlah hutang yang mungkin dapat dipungut dengan kos perundangan.

Pilihan 2: Mohon pelepasan cukai untuk hutang lapuk

Gambar pemadam sebagai simbol pelepasan cukai

Jika ada syarat tuntutan hutang yang tidak dipenuhi, hutang itu dikenali sebagai hutang lapuk.

Ini bererti kemungkinan pemiutang dibayar adalah sangat rendah, lantas mungkin lebih baik untuk halalkan saja hutang itu dan dapatkan pelepasan cukai.

Pelepasan cukai memastikan bahawa pemiutang tidak dikenakan cukai atas hutang yang tidak dibayar. Tanpanya, LHDN masih boleh merekodkan junlah hutang tersebut sebagai pendapatan bercukai.

Proses tuntutan ini tidak rumit dan melibatkan dua langkah utama:

  1. Keluarkan Surat Tuntutan (LOD): Surat ini adalah bukti hutang tersebut tidak dibayar.
  2. Dapatkan penyata sokongan: Peguam atau juruaudit mungkin perlu mengesahkan jumlah yang tidak dibayar, terutamanya untuk jumlah yang besar.

Ini takkan puaskan hati pemiutang, tapi boleh sekurang-kurangnya mengurangkan kerugian.

Patutkah anda lantik peguam tuntutan hutang?

Sebagai penyedia perkhidmatan perniagaan, kami di MISHU sudah tentu akan kata ‘ya’ kepada mengupah profesional untuk mengendalikan tugas sampingan!

Namun begitu, tiada jawapan muktamad, dan ia bergantung kepada situasi pemiutang.

Gambar peguam penuntut hutang di malaysia

Selagi anda tidak membawa kes ke mahkamah, anda boleh 100% uruskan kutipan hutang sendiri.

Cuma ingat ‘Surat LOD’ yang anda hantar tiada kuasa undang-undang dan kurang berkesan untuk penghutang degil.

Sebaliknya, Surat LOD daripada peguam mempunyai dua kelebihan utama:

  • ia mempunyai kuasa undang-undang, dan
  • Ia lebih berkemungkinan menakutkan penghutang

Jika anda hanya risau tentang kos, sesetengah peguam tuntutan hutang menawarkan polisi “tiada kutipan, tiada bayaran”.

Mereka tidak mengenakan bayaran pendahuluan dan hanya mengambil peratusan daripada jumlah yang berjaya dikutip – satu pilihan tanpa risiko untuk pemiutang menuntut semula hutang mereka.

Biar MISHU bantu tuntutan hutang perniagaan anda

MISHU bekerjasama dengan ramai penyedia perkhidmatan perniagaan profesional untuk membantu kami menawarkan servis komprehensif untuk pemilik PKS di Malaysia. Biar kami hubungkan anda dengan pakar yang betul untuk menyelesaikan masalah anda!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

please include country code

Scroll to top