Panduan Permohonan Lesen Runcit & Borong Beras Di Malaysia
Kerana statusnya sebagai makanan ruji, perniagaan di Malaysia yang ingin menjual beras secara runcit dan borong secara sah memerlukan lesen Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Dari segi proses permohonan, lesen ini tidak begitu rumit, dan bagi perniagaan di Semenanjung Malaysia, panduan ini menerangkan apa yang perlu anda tahu untuk uruskan permohonan sendiri, termasuk:
- syarat kelayakan & yuran
- dokumen sokongan
- langkah-langkah permohonan
- tempoh sah & pembaharuan lesen
Jom mulakan.
Lesen runcit beras

Lesen ini membolehkan perniagaan menjalankan aktiviti jualan runcit beras dengan stok minimum 10,000kg dan ke atas.
Syarat kelayakan
- entiti berdaftar di bawah SSM / SKM / Lembaga Pertubuhan Peladang
- pemohon merupakan warganegara Malaysia berumur sekurang-kurangnya 18 tahun / syarikat milikan Malaysia
- mempunyai premis yang sesuai (tingkat bawah dan bukan kawasan mudah banjir)
- tiada lesen runcit beras sedia ada di alamat premis yang sama
Yuran
Fi lesen adalah sebanyak RM20 setahun untuk stok pertama 10,000kg, dan RM10 setahun bagi setiap tambahan 10,000kg atau sebahagiannya.
Dokumen sokongan
Semua permohonan memerlukan lesen PBT yang sah bagi aktiviti berkaitan di premis yang dinyatakan dalam permohonan. Dokumen sokongan tambahan bergantung kepada jenis entiti perniagaan.
SSM Enterprise (Milikan Tunggal / Perkongsian)
- salinan profil SSM yang menunjukkan aktiviti perniagaan beras serta alamat premis perniagaan yang dipohon untuk lesen
Sdn Bhd / Bhd
- salinan Memorandum dan Artikel Persatuan (MAA)
- salinan profil SSM yang menunjukkan aktiviti perniagaan beras serta alamat premis perniagaan yang dipohon untuk lesen
Koperasi / pertubuhan peladang
- salinan Sijil Pendaftaran
- salinan undang-undang kecil
- salinan petikan minit mesyuarat yang menunjukkan Lembaga Pengarah / Ahli Jawatankuasa meluluskan permohonan lesen runcit beras, termasuk peruntukan modal yang telah diluluskan
Lesen borong beras

Lesen ini membolehkan perniagaan menjalankan aktiviti pemborongan beras dengan stok minimum 100 MT (tan metrik) dan ke atas, serta memerlukan perkara berikut:
Syarat kelayakan
- entiti berdaftar di bawah SSM / SKM / Lembaga Pertubuhan Peladang
- pemohon merupakan warganegara Malaysia berumur sekurang-kurangnya 21 tahun / syarikat milikan Malaysia
- modal berbayar sebanyak:
- RM100,000 bagi entiti Bumiputera
- RM150,000 bagi entiti bukan Bumiputera (bagi syarikat)
- modal kerja sebanyak:
- RM100,000 bagi entiti Bumiputera
- RM150,000 bagi entiti bukan Bumiputera
- mempunyai kawasan penyimpanan yang sesuai (tingkat bawah, bukan kawasan mudah banjir, serta pintu masuk / keluar tidak menghalang lalu lintas)
- tiada lesen beras sedia ada di alamat premis yang sama
Yuran
Fi lesen adalah sebanyak RM200 setahun untuk stok pertama 100 MT, dan RM10 setahun bagi setiap tambahan 100 MT atau sebahagiannya.
Dokumen sokongan
Semua permohonan memerlukan lesen PBT yang sah bagi aktiviti berkaitan di premis yang dinyatakan dalam permohonan. Dokumen sokongan tambahan bergantung kepada jenis entiti perniagaan.
SSM Enterprise (Milikan Tunggal / Perkongsian)
- salinan profil SSM yang menunjukkan aktiviti perniagaan borong beras serta alamat premis perniagaan yang dipohon untuk lesen
- salinan penyata bank terkini bagi tempoh 3 bulan atas nama pemohon dengan baki minimum:
- RM100,000 bagi pemohon Bumiputera
- RM150,000 bagi pemohon bukan Bumiputera
- salinan perjanjian sewaan gudang / perjanjian jual beli (S&P) / surat kebenaran penggunaan gudang / hak milik tanah
Sdn Bhd / Bhd
- salinan Memorandum dan Artikel Persatuan (MAA)
- salinan profil SSM yang menunjukkan aktiviti perniagaan borong beras serta alamat premis perniagaan yang dipohon untuk lesen
Koperasi / pertubuhan peladang
- salinan Sijil Pendaftaran
- salinan undang-undang kecil
- salinan petikan minit mesyuarat yang menunjukkan Lembaga Pengarah / Ahli Jawatankuasa meluluskan permohonan lesen borong beras, termasuk peruntukan modal yang telah diluluskan
- salinan penyata bank terkini bagi tempoh 3 bulan atas nama pemohon dengan baki minimum:
- RM100,000 bagi pemohon Bumiputera
- RM150,000 bagi pemohon bukan Bumiputera
- salinan perjanjian sewaan gudang / perjanjian jual beli (S&P) / surat kebenaran penggunaan gudang / hak milik tanah
Langkah-langkah permohonan
Bagi organisasi yang memenuhi keperluan di atas serta telah menyediakan semua dokumen sokongan yang diperlukan, permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal Kawalselia Padi & Beras KPKM.

Bagi pemohon kali pertama, anda perlu mendaftarkan akaun terlebih dahulu sebelum boleh meneruskan proses penghantaran permohonan.
Tempoh Sah & Pembaharuan
Kedua-dua lesen runcit dan borong beras biasanya sah untuk tempoh satu tahun bagi setiap pengeluaran lesen. Pembaharuan hendaklah dibuat sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh tamat tempoh lesen.
Pembaharuan lesen juga boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal KPKM di atas.
Itu saja daripada kami, dan kami harap permohonan anda berjalan lancar 😊
Biar MISHU uruskan permohonan lesen KPMP anda
Jika anda memerlukan bantuan mendapatkan lesen runcit atau borong beras bagi pasar raya, kedai runcit, atau pusat borong anda, pasukan MISHU sedia membantu menyediakan dokumen, berurusan dengan KPKM, serta menguruskan pengambilan dan penghantaran lesen.