Panduan Permohonan Sijil SCORE Untuk Kontraktor G2 – G7
Program Contractor Capability and Capability Evaluation (SCORE) bertujuan menilai keupayaan kontraktor G2 – G7 bagi mengenal pasti kontraktor yang berprestasi tinggi…dan yang sebaliknya.

Dalam ekosistem CIDB, sijil SCORE sah adalah syarat pembaharuan PPK, dan penarafan tertentu diperlukan bagi sijil SPKK (serta STB).
Bagi kontraktor yang ingin uruskan permohonan SCORE sendiri, panduan ini menerangkan:
- cara sistem SCORE berfungsi
- metrik penilaian SCORE (+ dokumen sokongan)
- langkah-langkah permohonan
- yuran dan tempoh sah
Sudha tentu, anda juga boleh hubungi kami untuk dapatkan bantuan.
Kalau tidak, jom mulakan.
Bagaimana SCORE berfungsi
SCORE menilai kontraktor G2 – G7 berdasarkan tujuh metrik penilaian, di mana setiap metrik ada maksimum 30 markah, menjadikan jumlah markah keseluruhan sebanyak 210 markah.

Berdasarkan markah keseluruhan dan prestasi setiap metrik, kontraktor diberikan penarafan 0 – 5 bintang.
| Peratus Pencapaian | Penarafan |
|---|---|
| 0% – 10% | 0 Bintang |
| 11% – 30% | 1 Bintang |
| 31% – 50% | 2 Bintang |
| 51% – 70% | 3 Bintang |
| 71% – 84% | 4 Bintang |
| 85% – 100% | 5 Bintang |
Syarat minimum tambahan:
- kontraktor yang memperoleh lebih daripada 85% markah keseluruhan tetapi gagal mencapai markah minimum bagi mana-mana metrik individu boleh menerima penarafan yang lebih rendah
- 5 Bintang memerlukan sekurang-kurangnya 15 markah bagi setiap metrik penilaian
- 4 Bintang memerlukan sekurang-kurangnya 10 markah bagi setiap metrik penilaian
Kepentingan penarafan SCORE
Sijil SCORE wajib untuk memperbaharui sijil PPK, menjadikannya keperluan bagi semua kontraktor G2 – G7.
Selain itu, untuk memperbaharui sijil SPKK, kontraktor G2 perlu memperoleh sekurang-kurangnya 2 bintang dan kontraktor G3 – G7 perlu memperoleh sekurang-kurangnya 3 bintang
Selain syarat pembaharuan sijil, penarafan SCORE yang tinggi juga membantu meningkatkan kredibiliti syarikat apabila bersaing mendapatkan projek pembinaan, terutamanya projek kerajaan yang bernilai tinggi, di mana pemilihan kontraktor perlu disokong oleh penilaian yang objektif.
Tujuh metrik penilaian SCORE

Bagi setiap daripada tujuh parameter penilaian SCORE, kami menyertakan contoh dokumen sokongan yang biasa digunakan untuk menunjukkan keupayaan kontraktor dalam metrik tersebut.
| Metrik | Apa Yang Dinilai | Dokumen Sokongan (Contoh) |
|---|---|---|
| Prestasi Perniagaan | Hasil syarikat, pertumbuhan perniagaan, keupayaan mendapatkan projek baharu serta amalan kepuasan pelanggan | • Rekod hasil tahunan bagi tiga tahun terkini • Kajian maklum balas pelanggan • Profil syarikat di laman web • Lesen luaran berkaitan |
| Keupayaan Kewangan | Kekuatan kewangan syarikat melalui nisbah kewangan utama termasuk Current Ratio, Gearing Ratio, Gross Profit Margin, ROI, Net Profit Margin dan ROE | • Penyata kewangan diaudit • Laporan kewangan |
| Keupayaan Teknikal | Pengalaman syarikat, tenaga kerja profesional serta pekerja yang mempunyai akreditasi CIDB | • Sijil pendidikan kakitangan • Rekod akreditasi CIDB • Rekod tenaga kerja teknikal |
| Pengurusan Projek | Perancangan projek, SOP, kawalan kualiti serta amalan pengurusan keselamatan | • Dokumentasi SOP • Sistem Pengurusan Kualiti • Pelan Kualiti Projek • Method Statement • Rekod CPC, PO dan invois • Keputusan QLASSIC dan SHASSIC |
| Pengurusan Perolehan | Prosedur pembelian, pengurusan pembekal, kawalan bahan serta sistem inventori | • Polisi perolehan • Prosedur pemilihan subkontraktor • Rekod inventori |
| Amalan Terbaik | Sistem kualiti, kebajikan pekerja, kelestarian serta tanggungjawab korporat syarikat | • Pensijilan ISO • Rekod KWSP dan insurans • Surat Pengesahan Status Syarikat Baik daripada SSM • Penyertaan dalam program PROTEGE |
| Keupayaan Pengurusan | Struktur organisasi, sistem pengurusan serta perancangan pembangunan perniagaan | • Carta organisasi • Penerangan tugas (Job Description) • Rekod latihan • Buku panduan Kod Etika • Aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) |
Pemeriksaan & risiko pengisytiharan palsu
CIDB boleh menjalankan pemeriksaan premis atau tapak pembinaan, atau memanggil kontraktor untuk menghadiri temu bual Compliance Review (SPEK) bagi mengesahkan maklumat yang telah dihantar.
Sekiranya terdapat maklumat atau dokumen yang didapati palsu atau sengaja mengelirukan, tindakan berikut boleh diambil:
- surat amaran
- pembatalan sijil SCORE, atau
- penggantungan daripada membuat permohonan SCORE sehingga satu tahun
Ini tidak berlaku secara automatik bagi setiap permohonan dan tertakluk kepada pertimbangan CIDB.
Langkah permohonan, yuran & tempoh sah
Permohonan penilaian SCORE dikenakan yuran RM50 dan dibuat secara dalam talian melalui portal CIMS.

- Pergi ke tab “SCORE” dan klik “Apply SCORE Evaluation“
- Lengkapkan pengisytiharan dan jawab semua soalan berkaitan tujuh metrik penilaian.
- Lampirkan semua dokumen sokongan yang diperlukan dalam format PDF.
- Cetak invois dan buat bayaran yuran RM50.00 secara dalam talian atau di kaunter CIDB dalam tempoh 30 hari selepas borang dihantar.
- Keputusan biasanya diproses dalam tempoh 14 hari bekerja selepas bayaran dibuat, dan anda kemudiannya boleh mencetak sijil SCORE maya anda.
Keputusan penilaian juga akan disertakan bersama surat digital daripada CIDB seperti contoh berikut.

Rayuan & tempoh sah sijil
Sijil SCORE dan penarafan bintang biasanya sah untuk dua tahun, dan sekiranya pihak yang terlibat tidak berpuas hati dengan keputusan penilaian, rayuan boleh dibuat dalam tempoh satu tahun daripada tarikh surat keputusan asal, dengan bayaran sebanyak RM300.
Jika tiada rayuan dibuat, permohonan baharu biasanya hanya boleh dihantar selepas satu tahun daripada tarikh surat keputusan sebelumnya.
Dan itu sahaja – sekarang dah boleh teruskan proses pembaharuan sijil PPK anda!
Biar MISHU uruskan permohonan SCORE anda
Bagi yang kesuntukan masa, gunakan perkhidmatan runner CIDB kami untuk mengendalikan semua keperluan pendaftaran dan pembaharuan CIDB anda – profesional, pantas dan pada harga berpatutan!