Panduan Lengkap Lesen Pusat Cuci Kereta DBKL
Pusat cuci kereta adalah satu perniagaan yang sesuai jika modal dan pengalaman terhad – asalkan sudi bekerja keras, atau ada bajet untuk upah pekerja bersemangat!

Untuk membuka pusat cuci kereta di Kuala Lumpur, anda akan perlukan lesen premis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan panduan ringkas menerangkan proses permohonan, termasuk:
- dokumen yang diperlukan
- syarat premis
- yuran, dan
- di mana untuk memohon
Jom, mulakan.
Dokumen yang diperlukan
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal eLesen DBKL.

Anda perlu menyediakan dokumen-dokumen berikut:
- Salinan pendaftaran perniagaan (Borang 9 & 49 atau Borang D bersama maklumat perniagaan dan pemilik)
- Salinan MyKad / pasport
- Kelulusan Perintah Pembangunan (D.O) untuk tanah terbuka dan penukaran bangunan
Ini bermakna anda perlu terlebih dahulu:
- Mendaftar Enterprise atau menubuhkan Sdn Bhd, dan
- Mencari dan menyewa premis yang sesuai
Kelulusan Perintah Pembangunan juga diperoleh dari DBKL, dan berikut adalah panduan rasmi DBKL untuk permohonan dan penghantaran DO.
Syarat premis DBKL
DBKL mempunyai syarat premis umum untuk semua perniagaan dan yang khusus buat perniagaan tertentu.
Pastikan anda sentiasa patuh dengan semua syarat kerana anda boleh diperiksa pada bila-bila masa oleh pegawai DBKL dan boleh dikenakan denda atau pembatalan lesen jika melanggar peraturan.
Syarat umum
Semua premis mesti:
- Menjalankan aktiviti perniagaan yang dinyatakan dalam lesen sahaja
- Menjalankan perniagaan dalam premis sahaja
- Sentiasa memaparkan lesen dengan jelas di premis
- Menjaga kebersihan luar dan dalam premis
- Menyediakan tong sampah yang mencukupi dan diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
- Meletakkan sampah dalam beg plastik sebelum dibuang ke dalam tong sampah
Kecuali dengan kebenaran, premis tidak dibenarkan:
- Menggunakan laluan pejalan kaki atau kawasan terbuka di sekitar premis untuk aktiviti perniagaan
- Mengubah suai premis
- Mengganggu atau menyebabkan pencemaran alam sekitar
- Menyimpan sebarang haiwan dalam premis perniagaan
Syarat premis pusat cuci kereta
Satu-satunya syarat khas untuk perniagaan cuci kereta adalah untuk mempunyai sistem pembuangan air atau sisa cucian kenderaan yang mencukupi dan teratur.
Pusat cuci kereta juga tidak dibenarkan beroperasi 24 jam sehari.
Yuran lesen
Panduan rasmi DBKL menyatakan bahawa yuran untuk lesen premis cucian kereta adalah RM500 setahun.
Ingat bahawa pihak berkuasa tempatan akan menyemak semula yuran mereka secara berkala, jadi hubungi kami untuk jawapan yang terkini.
Bisnes yang selamat
Ini hanya sekadar pendapat kami tentang topik yang berkaitan dengan perniagaan!
Walaupun tiada yang pasti, boleh dikatakan permintaan untuk pusat cuci kereta di Kuala Lumpur adalah stabil–sejak tahun 2023, DBKL melaporkan ada enam juta kenderaan di Kuala Lumpur.

Dengan pasaran yang besar, harga berpatutan, dan pelaburan modal yang rendah, kami rasa perniagaan cuci kereta adalah salah satu pilihan terbaik untuk usahawan muda atau baharu.
Nota: Anda akan memerlukan papan tanda, jadi lihat panduan lengkap lesen papan tanda DBKL kami!
Izinkan MISHU bantu permohonan lesen anda
Pasukan lesen perniagaan kami telah membantu beratus-ratus perniagaan dengan permohonan lesen premis dan papan tanda mereka, dan sedia untuk membantu anda juga!