15 Soalan Lazim Permohonan Dan Pembaharuan Lesen PBT Malaysia
Terdapat 151 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berbeza di Malaysia, dan setiap satunya bebas menetapkan syarat, yuran, dan peraturan pelesenan yang tersendiri.

Tidak kira jenis perniagaan, semuanya perlukan lesen perniagaan PBT masing-masing.
Kerana matlamat PBT adalah memastikan perniagaan beroperasi dengan bertanggungjawab, ada banyak persamaan antara kawasan, dan di bawah, kami menjawab 15 soalan lazim tentang lesen PBT.
Jom, mulakan.
Isi Kandungan
- 1. Apakah maksud lesen PBT?
- 2. Nak tengok contoh lesen PBT boleh?
- 3. Macam mana nak tahu PBT saya?
- 4. Apakah cara memohon lesen PBT?
- 5. Bolehkah borang permohonan lesen PBT dihantar secara dalam talian?
- 6. Adakah premis wajib diperiksa?
- 7. Boleh tak berniaga sebelum dapat lesen PBT?
- 8. Apa syarat lesen papan tanda PBT?
- 9. Apa syarat lesen premis PBT?
- 10. Berapakah harga lesen PBT?
- 11. Apa dokumen wajib permohonan lesen PBT?
- 12. Berapa lama tempoh sah lesen PBT?
- 13. Bagaimana cara memperbaharui lesen PBT?
- 14. Bolehkah lesen PBT dipindah milik?
- 15. Di mana boleh saya dapat butiran lanjut?
- Biar MISHU uruskan permohonan lesen PBT anda
1. Apakah maksud lesen PBT?
Lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk apa-apa lesen yang dikeluarkan oleh majlis daerah untuk membenarkan sesebuah perniagaan beroperasi di kawasan pentadbiran mereka.
Buat hampir semua perniagaan, ini akan melibatkan dua lesen:
- lesen premis
- lesen papan tanda
Kebanyakan PBT membenarkan dua lesen ini dipohon serentak sebagai lesen komposit ataupun lesen tred, perniagaan, dan perindustrian.

PBT juga bertanggungjawab untuk permit lain seperti lesen hiburan dan minuman keras, jadi anda digalakkan bertanya jika lesen tambahan akan diperlukan.
2. Nak tengok contoh lesen PBT boleh?
Boleh, ini adalah beberapa contoh lesen PBT dari Selangor, Pulau Pinang, dan Kuala Lumpur yang kami tolong mohon untuk perniagaan.
Kami dah sunting maklumat peribadi mereka, jadi kalau nak muat turun atau kongsi dokumen ini, silakan.




Kalau nak tengok contoh lesen PBT dari negeri lain, hubungi kami.
3. Macam mana nak tahu PBT saya?
Anda boleh merujuk kepada alamat surat-menyurat premis perniagaan anda dan mencari pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mentadbir kawasan tersebut.
Jika tak pasti, anda boleh menggunakan carian Google.
Contohnya, jika premis anda beralamat di Sri Petaling, anda perlu mendapatkan lesen PBT dari Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).
4. Apakah cara memohon lesen PBT?
Tanpa premis atau entiti perniagaan, anda tidak boleh memohon lesen PBT, jadi proses memohon lesen PBT biasanya melibatkan langkah-langkah berikut:
- Daftar Enterprise atau Syarikat Sdn Bhd (jika belum)
- Cari dan sewa premis yang sesuai
- Reka bentuk papan tanda dan kumpul dokumen sokongan
- Hantar permohonan dan bayar yuran pemprosesan
- Tunggu pegawai PBT membuat pemeriksaan
- Buat perubahan yang diperlukan (jika ada).
- Lesen dikeluarkan
Jika tak pasti entiti mana lebih sesuai, baca panduan Enterprise vs Sdn Bhd kami 🙂
5. Bolehkah borang permohonan lesen PBT dihantar secara dalam talian?
Ya dan tidak–ia bergantung kepada PBT!
Kebanyakan PBT di Selangor mempunyai sistem permohonan digital yang membolehkan permohonan, pembayaran, pencetakan dan pembaharuan lesen secara dalam talian:
- eLesen MBPJ
- eLesen MBSJ
- ePenjaja MBSA
- MyLesen MPK
- e-Lesen MPAJ
- eLesen MPKJ
- e-Perkhidmatan MP Sepang
- e-Lesen MPKL
- e-Permit MPHS
- iP3KS MPKS
Malangnya, masih ada PBT yang mewajibkan penghantaran fizikal, terutamanya kawasan luar bandar.
6. Adakah premis wajib diperiksa?
Bergantung pada jenis perniagaan tetapi kebanyakan masanya, ya.
Segelintir perniagaan boleh mendapat kelulusan serta-merta, tetapi ini biasanya untuk perniagaan sangat kecil seperti gerai tepi jalan.
Bagi hampir semua kes, setelah permohohan dihantar, pegawai PBT akan lawati premis dan memaklumkan jika ada perubahan yang perlu dibuat untuk memenuhi syarat premis mereka.
7. Boleh tak berniaga sebelum dapat lesen PBT?
Boleh, tapi kalau kena tangkap, jangan marah kalau kena saman kaw-kaw!
Untuk jawapan serious, tidak, anda tidak boleh menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Walau bagaimanapun, sesetengah PBT boleh mengeluarkan lesen sementara untuk perniagaan tertentu agar mereka boleh beroperasi sementara menunggu pegawai PBT menjalankan pemeriksaaan.
Sebagai contoh, MBSJ mempunyai lesen sementara yang diluluskan pada hari sama permohonan dihantar dan sah untuk enam bulan.
8. Apa syarat lesen papan tanda PBT?

Kebanyakan PBT menegakan syarat papan tanda serupa, iaitu:
- Penggunaan Bahasa Melayu secara jelas
- Jenis perniagaan dan nombor pendaftaran dinyatakan dengan jelas
Bahasa Melayu pada papan tanda juga perlu mendapat kelulusan Dewan Pustaka dan Bahasa sebelum disertakan dalam permohonan lesen.
Sesetengah PBT juga mewajibkan tulisan dalam Jawi!
Selain itu, saiz papan tanda mungkin berbeza mengikut PBT, dan permohonan perlu mengemukakan reka bentuk papan tanda berwarna dengan ukuran.
9. Apa syarat lesen premis PBT?
Sama seperti papan tanda, kebanyakan PBT mengenakan syarat premis serupa, iaitu:
- terletak di kawasan yang sesuai
- mempunyai fasiliti yang cukup
- tidak mengganggu kawasan persekitaran
Sesetengah jenis perniagaan mempunya syarat premis yang lebih ketat, contohnya kedai haiwan peliharaan tidak boleh terletak bersebelahan kedai makan, dan pusat hiburan tidak boleh berdekatan dengan sekolah.
10. Berapakah harga lesen PBT?
Soalan ini mustahil untuk dijawab di sini kerana harga lesen berbeza mengikut:
- PBT
- Jenis perniagaan
- Saiz premis, dan
- Jenis dan saiz papan tanda
Setiap PBT mempunyai formula sendiri untuk mengira harga lesen mengikut perniagaan, lantas harga lesen PBT sering berbeza untuk setiap permohonan walaupun untuk lesen komposit yang same.
Dalam pengalaman kami, harga lesen boleh serendah RM300 dan sehingga lebih RM1,000 setahun.
11. Apa dokumen wajib permohonan lesen PBT?
Pemohon perlu menyediakan dokumen berikut:
- Dokumen pendaftaran perniagaan atau syarikat
- Resit cukai tanah
- Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan (Certificate of Occupancy)
- Perjanjian sewa (jika menyewa premis perniagaan)
- Gambar pemohon
- Lakaran berwarna reka bentuk papan tanda premis perniagaan
- Gambar luar dan dalam premis
Dokumen sokongan tambahan mungkin diperlukan daripada agensi seperti:
- Jabatan Bomba dan Penyelamat
- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
- Jabatan Kesihatan
- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (jika berkaitan)
Dokumen sokongan berbeza mengikut jenis perniagaan dan anda mungkin perlu dapatkan lesen / permit khusus untuk industri anda sebelum memohon lesen PBT.
12. Berapa lama tempoh sah lesen PBT?
Tempoh sah lesen PBT biasanya adalah 12 bulan dari tarikh kelulusan. Namun, sesetengah PBT menggunakan sistem pro rata, di mana semua lesen berakhir pada 31 Disember, tanpa mengira tarikh pengeluarannya.
Jangan risau—dalam kes ini, yuran akan disesuaikan dengan tempoh operasi sebenar anda!
13. Bagaimana cara memperbaharui lesen PBT?
Lesen boleh diperbaharui melalui cara sama membuat permohonan baharu.
Bagi PBT yang membenarkan permohonan dalam talian, pembaharuan juga boleh dibuat secara digital, manakala semua PBT membenarkan pembaharuan secara fizikal di pejabat mereka.
Pemohon perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti lesen lama dan bukti pembayaran.
14. Bolehkah lesen PBT dipindah milik?
Ini bergantung pada entiti perniagaan.
Untuk Enterprise, lesen didaftarkan di bawah nama pemiliknya, lantas lesen ini tidak boleh dipindah milik kepada pihak lain.
Bagi Sdn Bhd, lesen didaftarkan di bawah nama syarikat, dan syarikat ini boleh dipindah milik menerusi milikan saham.
15. Di mana boleh saya dapat butiran lanjut?
Memang kerja kami untuk bantu pemilik perniagaan berurusan dengan PBT di seluruh Malaysia, dan kami telah menyediakan beberapa panduan khusus yang mungkin berguna:
- Panduan lesen perniagaan MBJB
- Panduan lesen perniagaan MPK
- Panduan lesen perniagaan DBKL
- Panduan lesen papan tanda DBKL
- Panduan lesen perniagaan MBSA
- Panduan lesen perniagaan MPAJ
- Panduan lesen perniagaan MPKJ
Anda juga boleh melawat laman web PBT anda atau hubungi nombor bantuan mereka.
Dan kalau nak jawapan yang betul-betul tepat, sila hubungi kami 😀
Biar MISHU uruskan permohonan lesen PBT anda
Pasukan pelesenan kami sudah membantu lebih dua ribu perniagaan memahami dan memenuhi keperluan pelesenan PBT di seluruh negara. Jika anda memerlukan bantuan, hubungi kami sekarang!