Panduan Ringkas Tambah Kod Bidang CIDB
Kontraktor di Malaysia bebas untuk menambah kategori dan kod pengkhususan pada bila-bila masa melalui portal CIMS selagi sijil PPK CIDB mereka masih sah dan tiada tindakan disiplin.

Panduan ini menerangkan cara lengkapkan permohonan ini, termasuk:
- syarat kelayakan penambahan kod
- dokumen sokongan
- yuran pendaftaran
- langkah-langkah permohonan
Kontraktor yang hanya ada tempoh sah lesen empat bulan juga boleh perbaharui sijil PPK sekaligus, jadi yang berminat boleh rujuk panduan pembaharuan sijil CIDB kami.
Jom, mulakan.
Syarat tambah kategori / kod pengkhususan
Walaupun tiada had untuk bilangan kategori dan kod pengkhususan yang boleh didaftarkan, pastikan ia sesuai dengan kelayakan dan jenis kontrak pembinaan yang dikehendaki.
Untuk penambahan kategori (B, CE, ME, E, F) anda hanya perlu kemas kini butiran personel teknikal.
Untuk penambahan kod pengkhususan anda perlu mengemukakan bukti satu daripada berikut:
- Pengalaman kerja: Surat tawaran kerja atau bukti kerja siap untuk pengkhususan tersebut
- Orang kompeten: Menggajikan individu berkelayakan yang berdaftar dengan badan berkaitan
- Sijil pengurusan: Sijil Kecekapan Pengurusan (SKP) yang dikeluarkan oleh CIDB dalam bidang berkaitan
- Pendaftaran agensi: Pendaftaran sah dengan agensi berkaitan
Bukti yang ingin disertakan akan termasuk dalam dokumen sokongan wajib.
Dokumen sokongan
Senarai berbeza mengikut jenis entiti dan kod, tapi secara am, pastikan dokumen berikut disediakan:
- dokumen pendaftaran dan maklumat syarikat / perniagaan / persatuan
- penyata kewangan dan bukti kedudukan kewangan terkini
- dokumen struktur dan pentadbiran organisasi
- dokumen personel teknikal dan profesional (termasuk sijil akademik dan bukti pekerjaan sepenuh masa)
- bukti pendaftaran profesional (contohnya PKP/SKK atau SPAN, ST, JKKP dan lain-lain)
- bukti pengalaman kerja atau projek berkaitan (seperti surat tawaran kerja atau bukti projek siap)
- dokumen khusus untuk sektor (termasuk peralatan, fasiliti atau pengesahan agensi)
Nota: Profil SSM boleh dibeli daripada SSM e-info atau MYDATA SSM
Langkah permohonan
Setelah semua dokumen sokongan tersedia, log masuk ke dalam akaun CIMS anda dan pilih ‘Kemaskini Maklumat Pendaftaran’.

Dari sini, platform akan membimbing anda melalui langkah-langkah berikut:
- Kemaskini maklumat syarikat
- Pilih kategori / pengkhususan baharu
- Sahkan perubahan maklumat
- Tambah kod bidang CIDB
- Muat naik dokumen sokongan
- Buat pengisytiharan dan hantar permohonan
Anda perlu membayar yuran pemprosesan RM30 dalam tujuh hari permohonan diserahkan, dan yuran pendaftaran RM100 dalam 14 hari ia diluluskan.
Itu saja daripada kami, dan semoga urusan anda berjalan lancar 😊
Biar MISHU bantu tukar kod bidang CIDB anda
Jika anda enggan membazir masa mengisi borang, MISHU menawarkan perkhidmatan lesen CIDB selengkapnya termasuk penambahan kategori / kod bidang, dan kami sedia untuk menolong anda juga.