12 Soalan Lazim Pendaftaran Kontraktor CIDB
Semua kontraktor di Malaysia wajib berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan mendapatkan Sijil Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) sebelum menjalankan projek.

Untuk membantu kontraktor yang ingin uruskan permohonan sendiri, panduan kami menggabungkan maklumat daripada sumber rasmi CIDB berikut menjadi satu panduan lengkap:
- Panduan pendaftaran kontraktor CIDB
- Akta 520
- CIDB SCORE
- CIDB MCORE
- Sistem Mata CCD
- Kategori dan kod pengkhususan kontraktor
Pembaca dialu-alukan untuk rujuk sumber-sumber di atas; cuma diingatkan kebanyakannya agak panjang!
Jika tidak, jom mulakan.
Isi Kandungan
- 1. Apakah jenis lesen CIDB yang ada?
- 2. Bagaimana CIDB mengelaskan kontraktor?
- 3. Apakah syarat pendaftaran CIDB?
- 4. Bolehkah pendaftaran CIDB dibuat online?
- 5. Apakah dokumen sokongan yang wajib?
- 6. Berapakah kos pendaftaran CIDB?
- 7. Berapa lamakah proses pendaftaran CIDB?
- 8. Berapa lama tempoh sah sijil PPK?
- 9. Apakah mata CCD?
- 10. Apakah penarafan bintang CIDB SCORE?
- 11. Apakah CIDB SPKK?
- 12. Apakah CIDB STB?
- Biar MISHU uruskan pendaftaran CIDB anda
1. Apakah jenis lesen CIDB yang ada?
CIDB sebenarnya tidak mengeluarkan ‘lesen’ tetapi sijil, dan yang terpenting dikenali sebagai Sijil Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK).

Selepas pendaftaran selesai, pemegang sijil boleh memohon beberapa lesen tambahan pilihan yang akan diterangkan di hujung FAQ ini.
Buat sekarang, perkara yang perlu diingat ialah walaupun semua kontraktor CIDB mempunyai sijil PPK, setiap pemohon dibahagikan berdasarkan keupayaan teknikal dan kewangan masing-masing.
2. Bagaimana CIDB mengelaskan kontraktor?
CIDB membahagikan kontraktor berdasarkan kepakaran teknikal dan saiz organisasi melalui tiga faktor utama:
- kategori
- pengkhususan, dan
- gred
Kategori dan pengkhususan menunjukkan jenis kemahiran, manakala gred menunjukkan kemampuan kewangan kontraktor berdasarkan modal berbayar (dan kakitangan teknikal untuk gred lebih tinggi).
Semasa membuat pendaftaran, pemohon perlu memilih pilihan yang sesuai dengan jenis operasi mereka.
Kategori
Kategori merujuk kepada empat bidang utama kerja pembinaan yang diiktiraf oleh CIDB:
- CE: Kejuruteraan Awam
- B: Pembinaan Bangunan
- ME: Mekanikal & Elektrikal
- F: Fasiliti
Pemohon boleh memilih lebih daripada satu kategori asalkan mempunyai dokumen sokongan yang diperlukan untuk membuktikan kepakaran mereka.
Pengkhususan
Di bawah setiap kategori terdapat bidang pengkhususan yang menggunakan sistem kod tersendiri:
- Pembinaan Bangunan (B) ada 29 kod
- Kejuruteraan Awam (CE) ada 43 kod
- Mekanikal (ME) ada 23 kod
- Elektrikal (E) ada 35 kod
- Fasiliti (F) ada hanya 2 kod
Kontraktor boleh memilih mana-mana kod pengkhususan yang berkaitan dengan operasi mereka, selagi ia berada di bawah kategori yang dipilih dan mereka memenuhi keperluan teknikal yang ditetapkan.
Gred
Ada tujuh gred yang boleh dipohon oleh kontraktor daripada G1 – G7. Setiap gred membolehkan kontraktor menyertai tender dan melaksanakan projek dengan had nilai yang semakin tinggi.
| Gred | Had Projek |
|---|---|
| G1 | Sehingga RM200,000 |
| G2 | Sehingga RM500,000 |
| G3 | Sehingga RM1 juta |
| G4 | Sehingga RM3 juta |
| G5 | Sehingga RM5 juta |
| G6 | Sehingga RM10 juta |
| G7 | Tiada had |
Klasifikasi tambahan untuk kontraktor Elektrikal
Kontraktor elektrikal di bawah pengkhususan E04 akan diberikan gred berdasarkan kelas pendaftaran mereka dengan Suruhanjaya Tenaga (ST).
| Kelas Pendaftaran Suruhanjaya Tenaga (ST) | Gred CIDB |
|---|---|
| D | G1 |
| C | G2 |
| B | G3 |
| A | G4 dan ke atas |
3. Apakah syarat pendaftaran CIDB?
Walaupun ia berbeza dengan setiap permohonan, kontraktor yang ingin berdaftar dengan CIDB perlu memenuhi empat syarat lazim berdasarkan kategori, pengkhususan dan gred yang dipohon:
- mempunyai entiti perniagaan yang berdaftar
- mempunyai modal berbayar yang mencukupi
- memenuhi keperluan kakitangan teknikal
- permohonan dibuat oleh individu yang dibenarkan
Pendaftaran entiti perniagaan
Permohonan mestilah dibuat oleh salah satu entiti perniagaan berikut:
- Sdn Bhd
- Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)
- Enterprise berdaftar dengan SSM
- Koperasi berdaftar dengan SKM
- Pertubuhan berdaftar dengan ROS
Modal berbayar
Pemohon perlu mengekalkan modal berbayar minimum berikut sepanjang tempoh pendaftaran.
| Gred | Modal Berbayar |
|---|---|
| G1 | RM5,000 / RM10,000 (jika di bawah SPKK) |
| G2 | RM25,000 |
| G3 | RM50,000 |
| G4 | RM150,000 |
| G5 | RM250,000 |
| G6 | RM500,000 |
| G7 | RM750,000 |
Kakitangan teknikal
Kakitangan teknikal merangkumi pemilik, pengarah dan pekerja sepenuh masa warganegara Malaysia dengan sijil, diploma atau ijazah teknikal yang berkaitan dengan bidang pembinaan daripada institusi yang diiktiraf oleh CIDB.
Secara am, semakin tinggi kelayakan kakitangan teknikal anda, semakin tinggi gred yang boleh dipohon.
Pemohon yang dibenarkan
Permohonan mestilah dibuat oleh salah seorang pemilik, pengarah atau ahli lembaga pengarah syarikat. Seorang pengarah atau pemilik hanya boleh menghantar permohonan pendaftaran bagi satu syarikat.
4. Bolehkah pendaftaran CIDB dibuat online?
Ya. Semua permohonan dibuat melalui Centralised Information Management System (CIMS) iaitu portal dalam talian CIDB.

Pengguna kali pertama perlu mendaftarkan akaun terlebih dahulu dan ingat, ia mesti didaftarkan menggunakan maklumat pengarah atau pemilik syarikat.
Untuk memastikan proses pendaftaran berjalan lancar, pastikan semua dokumen yang diperlukan telah disediakan terlebih dahulu, yang membawa kita kepada soalan seterusnya.
5. Apakah dokumen sokongan yang wajib?
Dokumen yang diperlukan bergantung kepada jenis entiti perniagaan dan bidang pengkhususan pembinaan yang dipohon.
Dokumen perundangan & pentadbiran
- perjanjian perkongsian (bagi perkongsian di bawah ROB atau PLT)
- sijil pendaftaran SKM atau ROS berserta senarai ahli lembaga
- profil SSM yang terkini
Dokumen teknikal & kompetensi
- sijil akademik bagi semua kakitangan teknikal yang diisytiharkan
- resume pengurusan fasiliti (FM) bagi permohonan Kategori F
- sijil Orang Kompeten (contohnya daripada Suruhanjaya Tenaga), jika berkaitan
- bukti pendaftaran dengan badan kawal selia lain yang berkaitan, jika diperlukan
Dokumen kewangan
- Penyata Tahunan (Annual Return) untuk Sdn Bhd / Bhd (ROC)
- penyata kewangan terkini atau penyata bank untuk Pemilikan Tunggal, Perkongsian, PLT, SKM & ROS
Dokumen tambahan pendaftaran khas
Kontraktor asing
- sijil akademik
- bukti modal berbayar
- iklan atau surat jemputan tender
Usaha sama (JV) / konsortium
- perjanjian JV atau konsortium
- bukti projek telah dianugerahkan
Kontraktor antarabangsa
- bukti projek yang telah disiapkan dalam tempoh tiga tahun lalu
- sijil ISO 9001:2008 atau ISO 9001:2015 yang masih sah
6. Berapakah kos pendaftaran CIDB?
Sehingga Jun 2026, permohonan yang diuruskan sendiri melibatkan dua kos utama:
- yuran pemprosesan permohonan
- yuran pendaftaran lesen
Semua permohonan dikenakan yuran pemprosesan sekali sahaja sebanyak RM50, manakala yuran kelulusan lesen dibayar setiap tahun mengikut gred kontraktor.
7. Berapa lamakah proses pendaftaran CIDB?
Jika semua dokumen lengkap, permohonan CIDB boleh diselesaikan dalam masa satu hingga dua minggu.
- Hari 0: Hantar permohonan pendaftaran CIDB melalui CIMS.
- Dalam tempoh 7 hari selepas permohonan dihantar: Bayar yuran pemprosesan.
- Dalam tempoh 5 hari bekerja: CIDB akan memproses dan meluluskan permohonan PPK.
- Dalam tempoh 14 hari selepas kelulusan: Bayar yuran pendaftaran untuk melengkapkan proses.
- Sejurus selepas pembayaran dibuat: Muat turun sijil CIDB digital anda melalui CIMS.
Sudah tentu, proses ini akan mengambil masa lebih lama jika jumlah permohonan lain adalah tinggi atau dokumen yang dihantar tidak lengkap.
8. Berapa lama tempoh sah sijil PPK?
Sijil PPK baharu sah selama dua tahun bermula daripada tarikh yuran pendaftaran dijelaskan.
Dalam tempoh dua tahun ini, kontraktor baharu perlu menghadiri beberapa kursus tertentu bagi melayakkan mereka memperbaharui sijil PPK nanti:
- Kursus Integriti dan Kod Etika (semua kontraktor)
- Kursus Pengurusan Perniagaan (kontraktor G1 – G3 tanpa kakitangan teknikal)
- Latihan Pengurusan Fasiliti (kontraktor Kategori F)
Selain itu, semua kontraktor juga perlu mengumpul mata CCD dan penarafan SCORE yang memenuhi syarat gred masing-masing.
9. Apakah mata CCD?
Contractor Continuous Development (CCD) ialah skim untuk memastikan kontraktor Malaysia mengikuti perkembangan industri. Untuk memperbaharui lesen, pemegang sijil PPK perlu mengumpulkan sejumlah mata CCD tertentu setiap tahun.
Semakin tinggi gred CIDB anda, semakin banyak mata CCD yang perlu dikumpulkan.
| Gred | Minimum Mata Setahun |
|---|---|
| G1 & G2 | 10 |
| G3 & G4 | 20 |
| G5 & G6 | 30 |
| G7 | 40 |
Antara cara yang biasa untuk mengumpulkan mata CCD ialah:
- menghadiri program peningkatan ilmu, forum, seminar dan kursus
- menyertai persatuan berkaitan industri
- menyumbang kepada program pembangunan ilmu sebagai penceramah, ahli panel atau peranan lain yang berkaitan
- menyertai aktiviti kemasyarakatan dan khidmat sosial
Sijil PPK boleh diperbaharui sehingga tiga tahun, bergantung pada mata CCD yang telah dikumpulkan.
10. Apakah penarafan bintang CIDB SCORE?
Contractor Capability and Capacity Evaluation Program (SCORE) ialah sistem penilaian untuk mengukur keupayaan kontraktor CIDB G2 hingga G7, serta mengenal pasti ruang penambahbaikan.
Ringkasnya, SCORE menilai kontraktor berdasarkan tujuh aspek utama:
- prestasi perniagaan
- keupayaan kewangan
- keupayaan teknikal
- pengurusan projek
- pengurusan perolehan
- amalan terbaik
- keupayaan pengurusan
Setiap aspek membawa maksimum 30 markah, menjadikan jumlah keseluruhan 210 markah.
Berdasarkan markah dan prestasi setiap aspek, kontraktor diberikan penarafan bintang seperti berikut:
- 2 bintang: 31% – 50%
- 3 bintang: 51% – 70%
- 4 bintang: 71% – 84%
- 5 bintang: 85% – 100%
Kontraktor G2 perlu memperoleh sekurang-kurangnya 2 bintang untuk melayakkan diri memperbaharui PPK, manakala kontraktor G3 hingga G7 perlu memperoleh sekurang-kurangnya 3 bintang.
MCORE untuk kontraktor G1
Micro Competitiveness Rating for Enhancement (MCORE) ialah versi SCORE yang lebih ringkas dan khusus untuk kontraktor G1.
MCORE menilai kontraktor berdasarkan empat aspek:
- keupayaan kewangan
- keupayaan teknikal
- keupayaan perniagaan
- pengurusan perniagaan
Setiap aspek juga dinilai daripada 30 markah, dan kontraktor akan diberikan tahap seperti berikut:
- Tahap 1: 0% – 40%
- Tahap 2: 41% – 70%
- Tahap 3: 71% – 100%
Kontraktor G1 tidak perlu mencapai tahap tertentu untuk memperbaharui sijil PPK mereka.
Namun begitu, penarafan ini sering digunakan untuk mengenal pasti kontraktor G1 yang lebih berkeupayaan, jadi tahap yang lebih tinggi sememangnya memberi kelebihan.
11. Apakah CIDB SPKK?
Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) ialah sijil tambahan yang membolehkan kontraktor menyertai projek pembinaan kerajaan.

Kontraktor mesti memiliki sijil PPK yang sah sebelum memohon sijil tambahan ini, dan anda boleh lihat panduan pendaftaran SPKK kami untuk butiran tentang syarat-syarat kelayakan lain.
12. Apakah CIDB STB?
Sijil Taraf Bumiputera (STB) membolehkan kontraktor Bumiputera menyertai tender projek pembinaan yang dikhaskan untuk syarikat Bumiputera.

Untuk mendapatkan STB, kontraktor perlu:
- terlebih dahulu memiliki sijil PPK dan SPKK yang masih sah
- memenuhi syarat kelayakan status Bumiputera yang ditetapkan
Untuk maklumat lanjut, anda boleh rujuk panduan kami mengenai pendaftaran CIDB STB.
Itu sahaja daripada kami. Semoga berjaya dengan permohonan sijil PPK anda! 😊
Biar MISHU uruskan pendaftaran CIDB anda
Perkhidmatan pendaftaran dan pembaharuan CIDB kami boleh menguruskan semua keperluan anda sebagai kontraktor berdaftar, termasuk PPK, SPKK, STB serta pertukaran kod pengkhususan. Professional, pantas, dan pada harga berpatutan.