Panduan Lengkap Pendaftaran Syarikat Sdn Bhd Secara Online
Walaupun pembaca pasti tahu pendaftaran syarikat online takkan semudah membeli-belah di Shopee, ia masih lebih rumit daripada yang disangka ramai, dan kami mulakan dengan penjelasan penting.
Jika anda mendaftar syarikat sendiri buat kali pertama, mustahil untuk daftar sepenuhnya online.
Ini kerana pendaftaran Sdn Bhd dilakukan melalui Sistem Pendaftaran Korporat (CRS) SSM yang wujud sebagai modul dalam portal SSM4U SSM.

Proses KYC akaun SSM4U baharu memerlukan lawatan fizikal ke cawangan SSM atau Kiosk Tap It.

Bergantung pada jarak lokasi-lokasi ini daripada anda, boleh sedikit meyukarkan proses, tetapi mujurnya, langkah-langkah selebihnya boleh dilakukan secara online.
Jika ini buat anda ragu-ragu tentang mengendalikannya sendiri, ini dua perkara yang boleh membantu:
- senarai lokasi SSM untuk lihat sejauh mana anda perlu pergi
- ketahui bagaimana perkhidmatan pemerbadanan 100% dalam talian boleh dilakukan
Bagi yang masih nak uruskan pendaftaran sendiri, panduan ini menerangkan prosesnya, termasuk:
- butiran yang perlu disediakan terlebih dahulu
- langkah-langkah proses pemerbadanan Sdn Bhd
- cabaran yang anda mungkin hadapi, dan
- kenapa sesetengah pihak boleh mengiklankan pendaftaran 100% online
Jom, mulakan.
Butiran wajib pemerbadanan Sdn Bhd
Semasa menyerahkan permohonan mandaftar Sdn Bhd, anda perlu mengisi SSM Superform yang namanya macam hebat tapi sama macam borang lain – panjang dan meletihkan!


Superform digunakan untuk merekodkan maklumat penting syarikat, termasuk:
- cadangan nama syarikat
- sifat dan penerangan perniagaan
- jenis syarikat (berhad menurut syer lwn berhad menurut jaminan)
- alamat berdaftar
- butiran pengarah
- butiran pemegang saham, dan
- butiran Setiausaha Syarikat
Memikirkan nama syarikat, memilih kod MSIC dan menulis penerangan tepat akan mengambil masa, jadi untuk permohonan lancar, sediakan semuanya sebelum memulakan proses CRS.


Jika anda sudah biasa dengan istilah ini, atau lebih baik lagi, jika anda sudah memilikinya, langkau ke bahagian seterusnya, manakala mereka yang masih tertanya-tanya boleh singgah sebentar ke sumber berikut:
- garis panduan penamaan syarikat SSM
- cara menulis ‘nature of business’ SSM
- panduan mencari kod MSIC yang betul
Kami juga cadangkan mendaftar akaun di MYDATA-SSM untuk semak jika nama pilihan anda tersedia.

Dan akhir sekali, pertimbangkan untuk lantik Setiausaha Syarikat dari mula kerana ia memang jawatan yang perlu diisi lambat laun dan boleh membantu percepatkan proses pendaftaran.
Buat masa ini, mari kita beralih kepada proses pemerbadanan itu sendiri.
Langkah pendaftaran syarikat secara online
Seperti yang kami nyatakan, pendaftaran dilakukan melalui CRS, dan secara keseluruhannya terdiri daripada empat langkah utama, termasuk lawatan fizikal ke SSM.

Karana anda tidak tahu berapa permohonan sedang diproses, jangkakan proses ini mengambil masa dua hingga empat minggu. Untuk semuanya berjalan selancar mungkin, sediakan semua butiran dan dokumen sokongan yang tersenarai di atas sebelum mulakan proses pendaftaran.
Langkah 1: Daftar di SSM4U

Pergi ke SSM4U dan klik Register Now, di mana anda akan diminta memilih jenis ID dan memasukkan nombor ID, nama penuh dan e-mel anda.
Tetapkan kata laluan dan lengkapkan profil anda, kemudian bersetuju dengan terma mereka dan sahkan pendaftaran.
Semak peti masuk anda dan klik pautan pengesahan untuk mengesahkan alamat e-mel anda.
Ini mengesahkan e-mel anda dan membawa kita ke langkah seterusnya, yang tidak disukai sesiapa pun.
Langkah 2: Sahkan identiti anda dengan SSM

Akaun anda tidak dapat mengakses CRS sehingga anda membuktikan identiti anda, dan ini kali pertama kami jumpa proses yang lebih payah untuk rakyat tempatan berbanding warga asing 😂
Untuk rakyat Malaysia
Anda perlu hadir sendiri sama ada ke kaunter SSM atau kiosk Tap.it. Kiosk biasanya lebih pantas dan kurang sesak, dan dengan lebih 500 kiosk di seluruh Malaysia, pasti ada satu berhampiran anda.
Untuk warga asing
Log masuk ke SSM4U dan klik Verify Now, kemudian muat naik:
- salinan kad pengenalan negara atau pasport anda
- gambar anda memegang ID pada paras leher, dan
- bil utiliti atau dokumen sokongan lain
SSM biasanya memproses dokumen ini dalam tempoh tiga hari bekerja. Setelah lulus, status papan pemuka anda bertukar kepada Verified dan perkhidmatan pendaftaran korporat akan dibuka.
Langkah 3: Cari dan tempah nama syarikat
Log masuk semula ke SSM4U dan pergi ke Application > Register of Company (ROC) > Name Search > New Incorporation.

Pilih parameter berikut:
- Local Company
- Limited by Shares
- Private Company (Sdn Bhd)
- akhiran SDN. BHD.
Kemudian cari nama cadangan anda, dan jika ia tersedia tetapi anda belum mahu melengkapkan pendaftaran, anda boleh membayar RM50 untuk menempahnya selama 30 hari.
Sudah tentu, anda juga boleh terus ke pemerbadanan jika anda bersedia melengkapkannya dalam satu masa.
Langkah 4: Buat pembayaran
Sekali lagi, mereka yang telah menyediakan butiran lebih awal akan mendapati proses ini sangat mudah kerana borang hanya meminta butiran yang telah anda tetapkan, iaitu:
- kod dan penerangan perniagaan
- alamat berdaftar
- pengarah, pemegang saham dan butiran pegangan saham
- sebarang surat kebenaran yang diperlukan bagi nama anda
- nombor sijil Setiausaha Syarikat (jika anda telah melantiknya)
Tandakan perakuan, pastikan butiran permohonan adalah betul dan hantar.
Anda akan diminta membayar yuran pemerbadanan SSM sebanyak RM1,010 serta RM50 bagi setiap nama yang ditempah.
Setelah pembayaran diterima, permohonan anda akan dihantar kepada SSM untuk semakan dan anda akan menerima e-mel apabila ia diluluskan.
E-mel ini bertajuk ‘Notice of Registration’ dan mengandungi bukti pemerbadanan anda dalam bentuk dokumen yang dipanggil Notis Pendaftaran atau Seksyen 15.

Dan begitulah, Sdn Bhd anda berjaya diperbadankan.
Nampak mudah, dan ia memang boleh jadi mudah, tetapi izinkan kami memberi sedikit amaran tentang cabaran biasa yang perlu anda bersedia hadapi.
Cabaran mendaftar syarikat sendiri
Maaf kerana memulakan bahagian ini seperti iklan, tetapi pasukan MISHU mendaftar berpuluh-puluh syarikat setiap bulan – ini antara kepakaran utama kami.

Kami juga menyediakan penyelesaian sehenti untuk sokongan perniagaan selepas pemerbadanan, dan jika anda akan menguruskan semuanya sendiri, berikut empat cabaran yang anda mungkin hadapi.
1. Menerangkan ‘nature of business’
Nature of business atau sifat perniagaan syarikat diterangkan dalam Superform melalui gabungan sehingga tiga Kod Perniagaan MSIC dan penerangan panjang sehingga 200 patah perkataan.

Ini bukan masalah bagi perniagaan yang lebih mudah, tetapi perniagaan dengan aktiviti yang kompleks atau luas mungkin sukar menggambarkan cara mereka menjana pendapatan dengan tepat.
2. Menjawab pertanyaan SSM
Bukan semua permohonan pemerbadanan diluluskan secara automatik, dan pegawai SSM kadangkala akan menghantar pertanyaan rasmi kepada pemohon yang perlu dijawab sebelum permohonan dihantar semula.
Pertanyaan boleh merangkumi pelbagai topik, dan pindaan yang lebih teknikal boleh mengelirukan pemohon kali pertama.
3. Memohon lesen perniagaan
Selepas pemerbadanan, perniagaan masih perlu melakukan pelbagai perkara lain sebelum boleh beroperasi secara sah, dan yang paling mendesak mungkin ialah memohon lesen perniagaan. Sekurang-kurangnya, kebanyakan perniagaan memerlukan lesen komposit PBT.

Melakukan semua ini sendiri sebagai usahawan yang kurang berpengalaman bermakna lebih banyak masa dihabiskan untuk urusan pentadbiran berbanding mengembangkan perniagaan.
4. Kos lepas akibat masa yang hilang
Tidak hairanlah ada yang terus melantik kami sebaik sahaja mengetahui mereka perlu hadir sendiri ke SSM!
Ini keputusan perniagaan. Memperbadankan syarikat sendiri mungkin lebih murah dari segi kewangan, tetapi memakan lebih banyak masa untuk beratur, mencari nama yang tersedia dan mencari kod perniagaan yang betul daripada lebih 1,000 pilihan.
Bahagian ini bukan bertujuan untuk menghalang anda memohon sendiri, tetapi untuk memastikan mereka yang memilih untuk melakukannya sendiri benar-benar faham komitmen yang terlibat.
Cara pendaftaran syarikat 100% online dibenarkan
Anda mungkin pernah lihat iklan yang tawarkan pendaftaran online sepenuhnya dalam beberapa hari.

Ini biasanya Setiausaha Syarikat dengan akaun SSM4U profesional (bukan individu) yang boleh menyerahkan permohonan bagi pihak lain, jadi pemerbadanan adalah 100% online kerana anda tidak perlu hadir sendiri ke SSM.
Ada penyedia yang janjikan pendaftaran dalam tiga hari, tetapi ini agak optimistik untuk menarik perhatian anda – dalam pengalaman kami, 7 – 10 hari bekerja lebih realistik.
Tapi ingat, 10 hari masih jauh lebih pantas dan mudah berbanding lakukannya sendiri!
Kalau anda tiada masa untuk pergi ke cawangan SSM untuk isi borang, penyedia perkhidmatan profesional mungkin berbaloi. Tidak semestinya MISHU – tetapi kami lebih suka jika ia adalah kami!

Nasihat akhir: Berhati-hati dengan iklan pakej pendaftaran syarikat murah di bawah yuran SSM kerana ia sering melibatkan caj tersembunyi.
Itu saja daripada kami, dan semoga segala urusan anda dipermudahkan😊
Daftar syarikat anda secara online dengan MISHU
Pasukan khusus MISHU sedia membantu anda di setiap langkah, memberi anda kebebasan untuk fokus sepenuhnya pada mengembangkan perniagaan anda dari hari pertama.