Panduan Lengkap Permohonan Lesen Perniagaan Di Selangor
Panduan ini khusus buat usahawan yang ingin berniaga di negeri Selangor dan memerlukan lesen perniagaan salah satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri tersebut.
Sepanjang lima tahun pengalaman MISHU mengendalikan permohonan lesen perniagaan di Malaysia, urusan dengan PBT Selangor lazimnya bebas isu – asalkan pemilik perniagaaan tak cari pasal!

Panduan di bawah menerangkan butiran penting lesen PBT Selangor agar pembaca dapat uruskan permohonan sendiri dengan teratur, dan kalau nak minta tolong MISHU, pun boleh 🙂
Begini cara kami menerangkannya:
- senarai PBT di Selangor
- maksud lesen PBT
- syarat lazim permohonan mana-mana PBT di Selangor, dan
- yuran dan tempoh sah lesen
Jom mulakan.
Senarai PBT di Selangor
Negeri Selangor ditadbir oleh 12 PBT berbeza, dan langkah pertama anda adalah untuk mengenalpasti PBT kawasan di mana premis perniagaan anda terletak.

Cari lokasi premis anda dalam jadual di bawah dan lihat PBT yang mentadbir kawasan tersebut.
| PBT Selangor | Kawasan Pentadbiran |
| Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) | Shah Alam, Sungai Buloh, Setia Alam, Kota Kemuning, Seksyen U, Bukit Jelutong, Denai Alam dan kawasan berhampiran. |
| Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) | Petaling Jaya, Damansara, Kelana Jaya, Ara Damansara, Bandar Utama, Mutiara Damansara dan kawasan berhampiran. |
| Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) | Subang Jaya, USJ, Puchong, Seri Kembangan, Kinrara, Putra Heights, Seri Serdang dan kawasan berhampiran. |
| Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) | Bandar Klang, Pelabuhan Klang, Kapar, Meru, Pandamaran dan kawasan berhampiran. |
| Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) | Kajang, Bangi, Semenyih, Beranang, Cheras Selatan, Balakong, Bandar Tun Hussein Onn dan sebahagian kawasan Daerah Hulu Langat. |
| Majlis Perbandaran Selayang (MPS) | Selayang, Rawang, Batu Arang, Kundang, Kuang, Gombak, Kepong (kawasan Selangor) dan sebahagian Daerah Gombak. |
| Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) | Ampang, Pandan Indah, Pandan Mewah, Taman Kosas, Lembah Jaya serta sebahagian kawasan dalam Daerah Gombak dan Daerah Hulu Langat. |
| Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) | Sepang, Bandar Baru Salak Tinggi, Cyberjaya, Kota Warisan, Dengkil, Tanjung Sepat dan kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). |
| Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) | Banting, Jenjarom, Teluk Panglima Garang, Morib, Tanjung Sepat dan kawasan sekitar Daerah Kuala Langat. |
| Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) | Kuala Selangor, Tanjong Karang, Bestari Jaya (Batang Berjuntai), Jeram, Puncak Alam dan kawasan berhampiran. |
| Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) | Kuala Kubu Bharu, Rasa, Batang Kali, Bukit Beruntung, Serendah, Hulu Bernam dan seluruh kawasan Daerah Hulu Selangor. |
| Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) | Sungai Besar, Sabak Bernam, Sekinchan, Bagan Nakhoda Omar dan kawasan sekitar Daerah Sabak Bernam. |
Kami telah menulis panduan untuk beberapa PBT di atas, dan anda boleh rujuk:
- panduan permohonan lesen perniagaan MBPJ
- panduan permohonan lesen perniagaan MBSA
- panduan permohonan lesen perniagaan MBSJ
- panduan permohonan lesen perniagaan MPKJ
- panduan permohonan lesen perniagaan MPK/MBDK
- panduan permohonan lesen perniagaan MPAJ
Bagi yang lain, kami ada pautan ke portal setiap PBT, jadi klik untuk lawat laman web mereka. Biasanya semua maklumat akan ada di sana dalam bentuk garis panduan rasmi, dan kalau susah nak cari, anda boleh telefon untuk minta bantuan.
Maksud lesen PBT
Biasanya, ‘lesen PBT’ merujuk kepada lesen komposit yang menggabungkan dua lesen:
- lesen premis
- lesen papan tanda
Kedua-dua lesen ini memastikan premis perniagaan dan papan tanda anda mematuhi syarat PBT dan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh sah lesen tersebut.

Kerana hampir semua perniagaan memerlukan kedua-dua lesen ini, PBT biasanya menggabungkannya dalam satu permohonan yang dikenali sebagai lesen komposit.
Namun, PBT juga bertanggungjawab mengeluarkan lesen lain seperti lesen jualan minuman keras dan lesen hiburan. Untuk elak membazir masa, kenal pasti lesen PBT yang diperlukan untuk perniagaan anda sebelum memulakan proses permohonan.
Syarat lazim permohonan
Setiap PBT akan ada syarat khusus, tetapi perbezaan ini biasanya hanya butiran manakala jenis syarat lebih kurang sama dari segi:
- entiti perniagaan
- premis
- papan tanda
- dokumen sokongan
Entiti perniagaan
Ini bermakna sebelum memohon lesen, anda perlu mendaftar sebuah entiti perniagaan terlebih dahulu, sama ada:
- Enterprise
- Sdn Bhd, atau
- Perkongsian Liabiliti Terhad
Kalau tak pasti, baca panduan kami yang menerangkan kelebihan dan kekurangan entiti ini.
Premis

- mempunyai bekalan air paip untuk kegunaan pekerja dan pelanggan
- bilangan tandas yang cukup untuk lelaki dan wanita
- pencahayaan yang mencukupi
- pengudaraan yang baik
- peralatan pencegahan kebakaran yang lengkap dan berfungsi
- tidak digunakan untuk tujuan kediaman kecuali yang telah ditetapkan
Papan tanda

- dimensi mematuhi ukuran yang dibenarkan
- Bahasa Melayu mesti digunakan dan tidak boleh lebih kecil daripada bahasa lain
- menyatakan nombor pendaftaran perniagaan
- tidak menghalang pengaliran udara / cahaya semula jadi tingkap
- tiada kandungan tidak sopan
Nota: Untuk butiran penuh, lihat panduan syarat papan tanda perniagaan Malaysia kami.
Dokumen sokongan

- dokumen pendaftaran perniagaan
- resit cukai tanah tanpa hutang tertunggak
- sijil kelayakan menduduki bangunan (certificate of occupancy)
- perjanjian sewa atau geran tanah
- gambar dan mykad / passport pemohon
- lakaran reka bentuk papan tanda
- gambar luar dan dalam premis
- pelan lantai premis
- surat sokongan bomba dan agensi teknikal lain
Yuran dan tempoh sah lesen

Dalam pengalaman kami, lesen komposit setahun PBT biasanya sekitar:
- RM200 – RM500 untuk pejabat / premis runcit
- RM500 untuk premis F&B
- RM1,000 untuk perniagaan yang beroperasi di kilang dan sektor perindustrian
Kami hanya boleh berikan anggaran sahaja kerana setiap PBT ada formula sendiri berdasarkan saiz dan jenis perniagaan, jadi harga setiap permohonan sering berbeza, walaupun untuk aktiviti sama.
Lazimnya tempoh sah lesen adalah setahun apabila diluluskan dan setiap kali diperbaharui.
Itu sahaja daripada kami, dan kami ucapkan semoga lancar segala urusan!
Biar MISHU uruskan permohonan lesen perniagaan Selangor anda
Pasukan pelesenan kami telah membantu lebih dua ribu perniagaan memahami dan memenuhi syarat pelesenan di seluruh Malaysia. Hubungi kami untuk sebarang pertanyaan tentang permohonan lesen perniagaan dari PBT Selangor!